SEDAR bukan semua menyukai lagunya dan rasa tidak perlu diadili sesiapa.
Georgie Joseph


BAKAT penerbit muzik dan penyanyi Jay Park, 32, dari Korea Selatan dikagumi jutaan peminat di seluruh dunia. Apatah lagi nyanyian rap serta penulisan liriknya memiliki aura antarabangsa.

Pada masa sama, ramai juga memuja fizikalnya yang sentiasa terjaga rapi dan Jay sangat komited bersenam di gimnasium.

Dia juga mencetuskan inspirasi kepada ramai orang untuk mendapatkan bentuk badan sepertinya.

Mungkin disebabkan itu juga kenaikan berat badannya baru-baru ini menjadi perbualan hangat. Jelas sekali, perubahan itu menarik perhatian sehingga ada yang mengecam bentuk fizikal terbarunya.

Bagaimanapun, Jay tidak pantas melenting berkenaan perkara itu. Dia sendiri sedar dengan perubahannya, namun sempat berseloroh mengenai bahagian perutnya masih berketul.

“Ya memang berat badan saya naik disebabkan faktor usia. Bagaimanapun, bahagian perut saya sebenarnya masih berketul jika berada di bawah pencahayaan yang betul,” katanya.

Apapun, bukan dilema mengenai fizikal saja yang ternyata mengganggu fikiran Jay sebaliknya berkenaan muziknya. Bertahun-tahun lamanya bekerja keras untuk terbitkan muzik bagus, dia layak mendapat pujian.

Namun, penyanyi yang juga juri program Asia's Got Talent itu terkilan dengan kecaman warganet terhadap lagunya. Dia sedar bukan semua menyukai lagunya, namun berharap bakatnya tidak dihina.

“Itu hak persendirian jika seseorang itu suka atau tidak kepada lagu-lagu saya. Bagaimanapun, saya tidak rasa saya perlu diadili sesiapa juga pada tahap sekarang ini.

“Menonton secara maraton program SMTM tidak menjadikan anda pakar mengenai muzik rap. Terima kasih dan saya sayang semua yang terus menyokong saya,” katanya.

Terbaru, Jay kembali bekerjasama dengan rakan lamanya Yultron menerusi sebuah EP berjudul On Fire. Apa yang pasti, kerjasama berkenaan paling memuaskan setakat ini menurut Yultron.

“Saya dan Jay sudah berkawan lama dan keserasian kami dalam bekerja sangat bagus. Untuk On Fire pun, semangat kami berdua pun memang berkobar-kobar sewaktu proses menyiapkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Jay juga berkunjung ke sini untuk menjayakan konsert Jay Park 2019 World Tour Sexy 4EVA In Asia - Kuala Lumpur Jumaat ini, jam 8 malam di KL Live, Jalan Sultan Ismail.

Konsert anjuran Onion Production itu bukan saja menampilkan persembahannya, tetapi acara bertemu peminat juga diadakan.

Tiket berharga RM330 untuk acara itu boleh dibeli menerusi laman web https://airasiaredtix.com.

Selain Kuala Lumpur, Jay juga turut mengadakan konsert di Hong Kong, Tokyo, Osaka, Thailand, Manila dan Taipei. Selepas itu, dia dijadualkan akan membuat persembahan di Off Route Fest Korea pada 6 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:00 AM