ZIZAN akui sudah lama kenal Bella tetapi bukan pasangan kekasih.


KEAKRABAN pelawak, pelakon dan pengacara popular Zizan Razak dengan pelakon Bella Astillah bukan lagi satu rahsia.

Apa tidaknya, gambar mereka bersama kerap muncul di Instagram hingga ramai yang membuat spekulasi mengenai hubungan mereka.

Bagaimanapun, Zizan yang ditemui usai kemenangannya sebagai Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad lalu menegaskan hubungannya dengan Bella sekadar kawan.

“Demi Allah saya dengan Bella hanya berkawan. Tiada niat apa-apa pun. Kami mula rapat selepas saya memperkenalkan dia dengan pengarah Ghaz Abu Bakar yang mencari heroin untuk sebuah drama.

“Kebetulan saya terserempak dengan ibunya di sebuah restoran dan meminta nombor telefon Bella. Kemudian kami mula rapat dan berkawan. Tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menurut Zizan, sekiranya ada wanita bertakhta di hatinya ketika ini, dia tidak akan sesekali memuat naik gambar kekasihnya di media sosial.

“Kalau ada apa-apa dengan wanita yang saya suka, saya tidak akan memuat naik gambarnya di laman sosial.

“Saya berani muat naik gambar Bella pun sebab kami hanya berkawan. Saya dan Bella sudah lama kenal,’ katanya.


BELLA Astillah

Zizan bagaimanapun mengakui mana-mana lelaki yang mengenali Bella pasti akan terpikat dengan perwatakannya yang lemah lembut.

“Dia wanita yang baik dan lemah lembut. Mudah kata seorang lelaki kalau tengok dia mesti akan suka. Namun kalau sudah tertulis dia jodoh saya, takkan saya nak menolak. Semuanya sudah ditetapkan Allah,” katanya.

Ditanya adakah ibunya merestui hubungannya dengan Bella, Zizan berkata, ibunya okay dia berkawan dengan Bella.

“Mak saya tiada masalah kami berkawan sebab kami tidak bercerita mengenai fasa seterusnya. Saya dan Bella selalu lepak bersama, malah mak saya juga pernah bertemu dengannya,” katanya.

Sementara itu, Zizan menganggap pencapaiannya sebagai Artis Komedi Popular kali ini adalah yang terbaik.

Katanya, dia masih menjadi pilihan peminat selepas lebih sedekad dalam industri seni.

“Saya masih menang walaupun lebih 12 tahun dalam industri. Alhamdulillah, rezeki luas yang dikurniakan buat saya. Bukan hanya ABPBH, saya juga menang pada anugerah lain. Ini berkat doa ibu bapa saya.

“Rahsia kemenangan saya mungkin kerana ada saja filem saya ditayangkan setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:20 AM