PUTRA Amaris tiada kena mengena dengan penjualan jongkong emas seperti dikaitkan dengannya baru-baru ini. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Putra Amaris kesal dengan sikap individu tidak bertanggungjawab apabila menyalahgunakan namanya dalam penjualan jongkong emas.

Amaris, 34, atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata, tindakan itu boleh mengelirukan orang ramai sekali gus menjejaskan reputasinya.

"Ingin dijelaskan saya tiada kena mengena dengan penjualan jongkong emas seperti yang dikaitkan dengan saya baru-baru ini.

"Saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini hinggakan mereka tuduh saya menipu. Saya berharap individu tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan tidak bermoral ini.

"Saya tidak mahu orang salah faham dengan perkara ini. Kebetulan saya baru keluarkan jenama minyak wangi Francesc Fragrance x Putra Amaris yang berbentuk jongkong emas dan warna emas," katanya kepada Harian Metro.

Amaris berkata, dia dinasihati beberapa rakan untuk membuat laporan polis jika perkara itu kian berlarutan.

"Buat masa ini, saya ambil pendekatan tidak buat laporan polis dahulu. Tapi, kalau individu itu masih lagi bertindak sedemikian dan makin melampau, saya tidak akan teragak-agak untuk buat laporan polis.

"Saya pun risau dengan keselamatan isteri dan anak, sebab ada di antara komen mereka yang diterima berbaur kata-kata kesat.

"Disebabkan itu, saya hanya buat tangkapan skrin (screen capture) mesej yang diterima. Sekali lagi saya harap tidak ada lagi warganet yang tertipu," katanya.

Terdahulu, Amaris memuat naik paparan skrin mesej yang dihantar secara peribadi (DM) mendakwa dirinya terbabit dalam penjualan jongkong emas di IG, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:09 PM