LOQUE mahu semua pihak meraikan budaya pemakaian tanjak yang diperkenalkannya. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI MonoloQue, Loque, 42, mengakui tidak kisah dirinya tidak dipandang peminat biarpun menjadi artis pertama yang memperkenalkan budaya pemakaian tanjak.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, menubuhkan MonoloQue pada 2004 dan kemudian mengenakan tanjak berkata, dia tetap berbangga walaupun peminat melihat artis lain lebih menonjol dengan trend itu.

“Baguslah kerana ini satu seruan dan kita patut bangga. Sejak dulu lagi, saya mahu semua pihak meraikan budaya pemakaian tanjak yang diperkenalkan oleh saya.

“Alhamdulillah ia kini jadi ikutan. Tanjak ini sebenarnya bukan milik saya tapi warisan daripada datuk nenek kita.

“Tujuan saya pakai mulanya pun untuk meraikan budaya. Diharap semua orang lain pakai pun bagi tujuan sama dan bukan untuk niat lain,” katanya kepada Harian Metro.

Loque yang juga pemain gitar kumpulan Butterfingers mengakui bangga dan seronok apabila budaya pemakaian tanjak semakin tular dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda.

“Saya tengok ketika Aidilfitri lalu ramai yang pakai tanjak. Bahkan juruhebah RTM pun pakai tanjak.

“Pada saya pemakaian tanjak tiada masalah asalkan dengan alasan yang betul dan bukan kerana sebab politik atau apa-apa.

“Sekali lagi ia adalah untuk meraikan budaya. Kalau anggap lain, mungkin jadi perkara lain,” katanya.

Menerusi MonoloQue, Loque tampil memperjuangkan genre muzik pop dan nusantara kepada peminat.

Dalam perkembangan lain, Loque bersama anggota Butterfingers iaitu Emmet (penyanyi), Kadax (bass) dan Loko (dram) membawa khabar baik buat peminat mereka apabila bakal tampil dengan Konsert Transcendence 20 Tahun yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:26 PM