BARISAN artis yang menyertai Gegar Vaganza musim keenam dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Syanty Octavia Amry


TEKA-TEKI mengenai siapakah peserta yang akan terbabit dalam program realiti hiburan Gegar Vaganza musim keenam (GV6) akhirnya terjawab apabila nama-nama mereka diumumkan hari ini.

Antara nama yang disebut seperti Wann, Sham Visa dan Noorshila Amin akhirnya muncul di pentas menjawab tanda tanya peminat setia program berkenaan.

Turut bersaing dengan mereka ialah Naqiu Boboy, Ameer Sofazr, Hady Mirza, Mazleela, Feeza dan penyanyi yang kini menetap di Canberra, Australia, Nurfatima.

Tidak ketinggalan dua kumpulan duo iaitu Kool dan One Nation Emcees serta penyanyi yang popular dengan lagu Ratnaku, Roy dan Jatt Ali daripada kumpulan Black Dog Bone.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober ini dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program realiti popular itu juga akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO setiap Ahad jam 9 malam.

Masih mengekalkan pengacara yang sama iaitu Jihan Muse dan Nabil Ahmad, juri tetap musim kali ini juga turut mengekalkan Datuk Ramli MS bersama juri tetap baru iaitu penyanyi popular dari Indonesia, Hetty Koes Endang.

Juara GV6 akan membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro. Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 berserta trofi.

Sementara itu, tempat keempat, kelima dan keenam tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:31 PM