BELLA akan terus memberi sokongan kepada Aliff sebagai sahabat. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


"APA saja tanggapan orang terhadap hubungan mesra saya dengan Aliff, saya terima secara baik.

"Memang kami sudah bercerai, tapi saya tetap akan terus memberi sokongan pada Aliff untuk dia bersemangat bangkit semula," kata pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 25.

Kelmarin, Bella yang kini dikenali dengan drama Cinta Belum Tamat Tempoh dikecam hebat oleh warganet di media sosial gara-gara video nyanyiannya secara langsung di Instagram (IG Live) turut disertai kemunculan bekas suami, Aliff Aziz.

Gelagat mesra mereka berdua secara tidak langsung mengundang perasaan geram warganet hingga ada yang melabelkan Bella sebagai bodoh.

Bella atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, hubungan baik di antaranya dengan Aliff wajar berterusan demi kasih sayang buat anak mereka, Mohamad Ayden Adrean, kini berusia dua tahun.

"Walau apa pun yang sudah berlaku dalam hubungan kami, Aliff tetap bapa kepada anak saya. Apatah lagi, saya faham kasih sayang dia pada Ayden.

"Lagipun, apa yang saya tahu Aliff sekarang giat belajar agama dan lebih banyak mendekatkan dirinya ke arah kebaikan.

"Pada saya, ia perkara yang baik berlaku dalam kehidupan Aliff sekarang apabila dia semakin rajin mendalami ilmu agama. Doa saya, semoga dia (Aliff) lebih tenang," katanya.

Ditanya sudah berapa kali dia dan Aliff membuat IG Live bersama, Bella tanpa berselindung memberitahu sudah tiga kali.

Bella berkata, dia akan berhubung dengan Aliff serta-merta apabila diminta Ayden. Katanya, setakat ini apa yang mereka lakukan untuk kegembiraan anak.

Menurutnya, dia akan terus memberi sokongan kepada Aliff sebagai sahabat dan tidak peduli dengan apa saja tanggapan orang ramai.

Untuk rekod, Aliff dan Bella bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu selepas dicurangi beberapa kali oleh penyanyi kelahiran Singapura itu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden yang kini dijaga sepenuhnya oleh Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:24 PM