NADIA bersyukur kerana tunangnya, Muizz memahami situasi kerjayanya sebagai pelakon. FOTO Instagram Nadia Brian
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Nadia Brian memohon maaf kepada tunangnya kerana tidak dapat meluangkan masa banyak untuk membuat persiapan perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada 9 November depan.

Nadia ketika dihubungi berkata, kekangan masa menjadi dugaan terbesar buatnya dan tunang, Muizz Nasruddin memandangkan kedua-duanya sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

"Saya rasa bersalah kerana terlalu sibuk dengan kerja dan tak dapat meluangkan masa dengannya untuk membuat persiapan majlis perkahwinan kami.

"Mujurlah keluarga ada melantik koordinator majlis perkahwinan untuk menguruskan beberapa hal penting," katanya kepada Harian Metro.

Nadia, 28, berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana tunangnya yang juga ahli perniagaan memahami situasi kerjayanya sebagai pelakon.

"Sejak awal percintaan lagi, dia sudah faham situasi kerja saya dan sekarang pun, dia tahu saya sedang sibuk dengan penggambaran dan sebagainya," katanya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada rakan artis yang mengambil berat dan bertanya mengenai situasinya yang kadangkala, berdepan saat sukar untuk seimbangkan antara kerja dan juga persiapan perkahwinan.

"Ada masanya saya rasa sangat tertekan dan lemah semangat. Tapi, terima kasih saya ucapkan kepada rakan artis yang bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat.

"Mereka faham dugaan dalam tempoh perkahwinan lebih-lebih lagi apabila majlis perkahwinan sudah hampir tiba," katanya.

Nadia mengikat tali pertunangan pada 4 Mei lalu selepas dilamar Muizz pada Februari di Kota Paris, berlatarbelakangkan Menara Eiffel.

Terbaru, Nadia sedang menjalani penggambaran drama bersiri Lelakimu Yang Dulu, kini ditayangkan di slot Akasia, TV3 bersama barisan pelakon hebat antaranya Sharnaaz Ahmad, Nelydia Senrose, Redza Rosli, Reen Rahim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:05 PM