NASIR menyiram air di pusara Yazit yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Mustaffa Kamal
NASIR menyiram air di pusara Yazit yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Mustaffa Kamal
Ridzuan Abdul Rahman


KEHADIRAN anggota kumpulan Search kecuali Amy yang datang melawat Yazit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika saat akhir hidupnya serta memberi penghormatan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih membuktikan mereka masih menyayangi bekas pemain dram kumpulan terbabit.

Pemain bass Search, Nasir Daud, berkata, dia bergegas datang dari Johor Bahru sebaik menerima berita Yazit dimasukkan ke HKL.

"Apabila sampai di Kuala Lumpur pada 3 pagi, saya diberitahu keadaan Yazit dah kritikal dan segera melawatnya di HKL.

"Saya berada dengan dia selama sejam. Di sana saya sangat terkesan dengan apa yang dah terjadi kepadanya, penderitaan dan kesakitan dia.

"Ini kerana kami bukan setakat sebagai sahabat satu kumpulan, tapi kami juga sebagai sebuah keluarga," katanya kepada Harian Metro dalam nada sebak.

Ditemui di Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Nasir, 60, mengakui sudah lama mengenali Yazit serta berkawan rapat sejak bermain muzik sebelum kewujudan Search.

"Kami sama-sama bekerja di sebuah kelab di Johor Bahru dan Search pun belum wujud ketika itu.

"Saya antara seorang daripada kawannya yang paling lama. Jadi, kami membesar bersama dan menghabiskan hidup lebih lama dengan keluarga Search daripada keluarga sendiri.

"Masing-masing meninggalkan keluarga sewaktu usia 17 dan 18 tahun bagi mengejar impian untuk bermain muzik bersama-sama," katanya.

Nasir berkata, mereka mempunyai minat mendalam terhadap muzik sehingga Search bertahan hampir 40 tahun.

"Bayangkan begitu lama kami bersama, tinggal dalam satu rumah sebagai sebuah keluarga besar. Semuanya kerana muzik yang dah sebati dalam diri," katanya.

Ditanya berkenaan konflik membabitkan dirinya dan Yazit, Nasir berkata, ia adalah lumrah dalam sesebuah hubungan.

"Ada kala kita berselisih faham, tidak sependapat dalam bekerja dan kena buat satu keputusan.

"Tapi tak bermakna kita putuskan silaturahim hanya kerana kami tak sependapat dalam soal kerjaya.

"Lagipun kebelakangan ini Yazit tidak begitu memberi impak positif dalam kumpulan. Disebabkan itu kami bergerak secara berempat," katanya.

Dia turut menolak dakwaan bahawa Yazit dipecat atau disingkirkan daripada Search.

"Kami tak pernah buat sesuatu keputusan bahawa Yazit disingkir, dipecat atau tak berada dalam kumpulan.

"Umum kena faham, Yazit tak sihat dan tak dapat lagi memberi sumbangan (tenaga) kepada Search.

"Jadi Search harus bergerak ke hadapan, hidup perlu diteruskan dan peminat pun faham keadaan ini. Mungkin ada satu, dua ataupun beberapa pihak yang masih bermain dengan sentimen itu," katanya.

Nasir menegaskan tiada siapa yang mampu menggantikan tempat Yazit dalam Search.

"Dia masih sebahagian Search. Kalau ada sesi fotografi, kami tetap bertahan empat orang kerana tidak ada orang lain yang ambil tempat dia.

"Tempat dia tak pernah diambil alih serta diganti dan pemain dram undangan pun faham ini tempat Yazit.

"Saya rasa sampai bila-bila akan macam ini sebab Search bukan kumpulan baru yang nak mencari tapak," katanya.

Katanya, walaupun berehat, Yazit tetap menerima royalti berkaitan Search yang membabitkan dirinya.

"Itu sudah pasti. Apa yang kami buat memang tidak beritahu masyarakat kerana ia isu dalaman Search.

"Saya dah cakap kepada isteri dan anaknya semalam, walaupun selepas papa dah tiada, bahagian dia tetap akan ada," katanya.

Amy pula kini berada di Indonesia kerana terbabit sebagai komentator program Golden Memories Asia untuk siaran Indosiar di Jakarta, Indonesia.

Dia turut bersedih dengan pemergian Yazit dan menyampaikan salam takziah menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.

Berita berkaitan

'Perginya 'rhythm' Search - Yazit Ahmad (1962 - 2019) [METROTV]'

'Papa pesan jaga ibu dengan baik'

'Yazit pemuzik rock sempurna, kawan baik'

Amy ucap takziah pemergian Yazit

Yazit sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:47 PM