KUMPULAN Scandals
KUMPULAN Scandals
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN rock Scandals yang dianggotai Ahwee (penyanyi), Zack (gitar), Bard (bass), Razak (keyboard) dan Dean (drum), melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai pertandingan Juara Rock Wilayah Persekutuan pada 1986.

Ia amat membanggakan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun sama ini kerana barisan jurinya adalah nama besar industri hiburan dari syarikat rakaman ketika itu seperti Nasser Abu Kassim dari WEA, Fauzi Marzuki dari EMI dan T Renganathan dari Polygram.

“Kami mengimpikan untuk bertanding secara serius di peringkat profesional. Alhamdulillah, usaha dan penat lelah kami akhirnya terbayar dengan kemenangan itu,” kata Zack mengimbas kenangan lampau.

Scandals juga tersenarai antara finalis kumpulan rock yang menyertai pertandingan berprestij Battle Of The Bands ketika itu.

Konsert akhir pertandingan itu asalnya dijadualkan berlangsung pada Oktober 1986 di Stadium Negara. Bagaimanapun, atas faktor permit dan desakan pengharaman konsert rock oleh pihak tertentu ketika itu, maka lokasinya dipindahkan ke Hollywood East, pusat beli-belah Ampang Park, Kuala Lumpur.

Finalis lain yang turut membuat persembahan ialah kumpulan May (Perak), D’Febians (Johor), Metallian (Selangor), Desire (Kelantan), Hunter Five (Melaka), Power Kids (Negeri Sembilan), The Kids (Terengganu), Hezirath (Pahang), Black Fire (Perlis), Infra Red (Kedah) dan Rock Gang (Pulau Pinang).

Terkini, selepas hampir 35 tahun penubuhannya, Scandals kembali menghiburkan peminat menerusi sebuah persembahan khas iaitu Showcase Rock Amal Scandals yang berlangsung pada jam 8.30 malam ini di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Persembahan anjuran Big Stage Entertainment dengan kerjasama Sendiri Music, Fauzi Omar Music & Entertainment serta Mentari Merah Entertainment itu diadakan secara percuma.

“Scandals akan mengalunkan kembali semua lagu yang pernah dirakamkan dari tiga album kompilasi rock berjudul Juara-Juara Rock yang diterbitkan Zainal Rampa.

“Antara lagu yang akan dibawakan ialah Kuasa, Rindu dan Penantian Yang Tak Pasti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Hiburan Big Stage, Shahriman Mohd Said berkata, showcase amal ini turut menampilkan beberapa kumpulan rock baru yang menawarkan diri mereka sebagai artis pembuka tirai.

“Mereka berbuat demikian demi menyokong usaha murni Scandals yang ingin membantu rakan artis yang kurang bernasib baik.

“Saya begitu terharu kerana tiada sebarang bayaran yang diminta kerana faham ini adalah persembahan amal. Bahkan kami selaku penganjur juga tidak melihatnya daripada sudut keuntungan,” katanya.

Antara kumpulan yang bakal mengadakan persembahan pembukaan ialah Gerabak, Boy Whitesteel 2, GFoss, Arap & X Band dan Rusty Rabak.

Walaupun diadakan secara percuma, Shahriman amat mengalu-alukan sumbangan daripada peminat yang berada dalam auditorium.

“Ia juga terbuka kepada orang ramai yang ingin menyumbang secara atas talian, sekiranya ternampak iklan kami di media sosial. Mereka boleh menghubungi nombor yang tertera di situ,” katanya.

Scandals sebelum ini sudah beberapa kali bertukar anggota dan antara yang pernah menganggotai Scandals ialah bekas pemain gitar Wings, Joe, bekas pemain gitar Bloodshed, Opie dan pemain gitar Bloodshed, Hamdan.

Bagi memastikan Showcase Rock Amal Scandals memberikan impak yang terbaik kepada peminat, kumpulan ini mengundang pemain keyboard wanita profesional iaitu Choy Chia Hsuan (Alice) untuk bersama dalam persembahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:00 AM