ZAMANI akan menggunakan pemuzik iringan dalam showcase solo. FOTO Rohanis Shukri
ZAMANI akan menggunakan pemuzik iringan dalam showcase solo. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman

my

LEBIH dua minggu berehat selepas bernikah, penyanyi Zamani Ibrahim, 48, akan membuat kemunculan pertama di khalayak ramai menerusi showcase solonya yang akan berlangsung di Uncle Chilli's, Hilton PJ, Petaling Jaya pada 6 Oktober nanti.

"Saya memang berdebar menanti respons peminat terhadap persembahan ini.

"Ia adalah penampilan pertama saya selepas bergelar suami dan tak dinafikan perasaan saspens memang ada.

"Persembahan saya akan diiringi oleh pemuzik undangan dan kami sudah mula berlatih sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi kumpulan Slam itu berkata, tiket untuk menonton persembahan berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM88 dan RM148 (termasuk sesi meet & greet).

"Persembahan berlangsung pada sebelah siang iaitu pada jam 4 petang bertujuan memudahkan peminat datang menonton.

"Saya akan menyampaikan rangkaian lagu popular buat peminat. Sebenarnya perancangan menggunakan pemuzik iringan dibuat pada saat akhir.

"Kami tiada banyak masa untuk berlatih. Mungkin sebahagian lagu akan dinyanyikan menggunakan minus one dan selebihnya diiringi mereka," katanya.

Sementara itu, Zamani mengakui kehidupannya lebih bermakna dengan kehadiran isteri, Nur Juliana Abdul Rani, 36, yang dikahwini pada 20 September lalu.

"Alhamdulillah, semuanya bagus. Makan dan pakai saya terutamanya pakaian show terjaga sekarang.

"Status Juliana masih lagi sebagai pengurus peribadi saya. Dia akan jaga dari sudut peribadi iaitu penampilan saya.

"Saya dah tak perlu fikir semua ini sekarang dan serahkan kepadanya untuk buat yang terbaik," katanya.

Menurutnya, mereka juga tiada masalah untuk membentuk persefahaman dan menyesuaikan diri kerana sudah saling mengenali selama 14 tahun.

Pasangan itu akan mengerjakan umrah pada 30 Oktober dan pulang awal November.

Selepas itu, mereka merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan buat keluarga dan rakan, pihak media serta peminat.

Tiket untuk menonton showcase Zamani boleh ditempah menerusi www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 3:54 PM