ISMA menyifatkan amalan berjenaka sedia ada menjadikan kelompok pendengar semakin mengecil.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"SAYA tak faham dengan penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri. Apa yang mereka lakukan membuatkan pendengar hanyut entah ke mana," kata penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46.

Isma melahirkan kekesalan dengan sikap penyampai radio pada masa ini yang menjadikan stesen radio sebagai bahan ketawa semata-mata.

"Masih terngiang-ngiang di fikiran saya, kenapa lah penyampai radio asyik nak buat lawak, orang lain tak gelak mereka yang gelak. Tindakan itu menunjukkan seolah-olah mereka tiada pengetahuan.

"Cukup-cukuplah dengan bahan ketawa sedangkan radio berperanan memberi kesedaran serta ilmu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Isma berpendapat trend itu berlaku disebabkan format baharu ditetapkan stesen radio bertujuan menarik perhatian pendengar.

"Saya amati bahasa yang digunakan penyampai radio baharu memang kasar. Mereka bercakap tidak berhati-hati dan memanggil orang lain sebagai 'korang'.

"Sudah-sudahlah berjenaka, televisyen padat dengan program jenaka dan terkini, radio pula," katanya yang kini bersiaran menerusi siaran radio Internet, Bapakku FM.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana bekas peserta rancangan realiti dan program lawak ditawarkan sebagai penyampai radio.

"Jika diimbau kembali, penyampai radio terdahulu perlu menjalani uji bakat bersama ratusan orang tetapi trend terbaru, tangkap muat.

"Penyampai radio yang lalu dinilai melalui ilmu pengetahuan. Kami perlu memiliki suara yang besar, mesti ada 'pukulan' untuk menarik pendengar," katanya yang juga bekas penyampai radio THR di saluran Gegar Permata Pantai Timur.

Jika konsep jenaka dikekalkan, Isma merasakan masyarakat tidak akan dididik dan setiap kata-kata penyampai radio tidak bermanfaat.

"Penyampai radio perlu beri kesan supaya pendengar boleh ingat, bukannya jenaka yang entah apa-apa. Sayanglah dengan bakat orang muda, kerana mereka mahu menjadi penyampai radio," katanya.

Isma yang bekas penyampai Radio Muzik pada 1994 berkata, amalan berjenaka sedia ada menjadikan kelompok pendengar semakin mengecil.

"Radio bukan untuk berhibur semata-mata tetapi menyampaikan maklumat dan mendidik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:22 PM