BELLA kini sangat berhati-hati dalam pergaulan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah, 25, mendedahkan bukan mudah untuk dia 'move on' memulakan hidup baru selepas bergelar ibu tunggal.

Bella atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, dia memahami perasaan wanita senasib dengannya yang susah hendak berubah dan pulih daripada kegagalan rumah tangga.

"Jujur saya katakan memang susah juga nak 'move on' sebenarnya. Namun, saya cekalkan hati dan cuba bertindak dengan lebih positif.

"Saya buang segala perasaan sakit hati dan benci dalam diri. Malah, berusaha redakan hati dengan apa yang berlaku supaya terus tenang," katanya.

Menurutnya, kalau boleh berkawan demi anak maka teruskan. Namun, jika sebaliknya kena berusaha mencari keseimbangan dalam diri.

"Apapun, saya bersyukur kerana ibu bapa sentiasa ada bersama dan mereka banyak memberikan nasihat. Ibu memang selalu ada dengan saya," katanya.

Makin laris bergelar pelakon, Bella yang muncul dengan drama lakonannya Cinta Belum Tamat Tempoh mengakui satu cabaran juga untuk dia menggalas status janda.

"Bila dah hidup solo ini, memang ada yang ingin mencuba. Saya banyak juga menerima e-mel dan mesej langsung daripada orang tak dikenali.

"Cuma, saya seorang yang susah nak ada pasangan. Ini kerana, saya anak sulung yang selesa memberi fokus pada adik-beradik dan keluarga," katanya.

Turut dipalit gosip cinta, Bella berkata, dia sedar itu lumrah kehidupan seorang selebriti. Namun, sebagai pelakon dia kena pandai jaga diri.

"Tak kisahlah perempuan atau lelaki, sebagai pelakon perlu bijak menjaga diri ketika di set penggambaran. Itu yang saya lakukan.

"Saya sangat berhati-hati dalam pergaulan. Apatah lagi, sebagai wanita kena tahu peranan dan jangan melayan. Tidak akan ada apa-apa yang berlaku jika tidak dilayan," katanya.

Mengakui ada lelaki berstatus suami dan tunang orang cuba mendekatinya, Bella berkata, dia sentiasa mengelak dan enggan terkait atau menyakiti sesiapa.

Tidak terfikir untuk jodoh baru, Bella berkata, sekarang fokusnya lebih ditumpukan pada karier dan hasrat menunaikan umrah bersama keluarga pada November nanti.

Bella sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada 9 September 2016 dan sah bercerai talak satu pada 16 Mei lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak, Mohamad Ayden Adrean, kini berusia dua tahun dan di dalam jagaan Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 8:20 PM