NABIL. FOTO Rosela Ismail
Ramlah Zainal

BARANGKALI nama pengacara berbakat Nabil Mahir lebih dikenali kerana kisah cintanya yang sering mencuri perhatian peminat.

Selepas episod cintanya dengan pelakon Sarah Hildebrand berakhir, nama Nabil kini hangat digosipkan pula dengan pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat.

Namun, kata bekas pengacara program HLive! ini, ketepikan dahulu soal peribadi kerana fokusnya kini adalah mengukuhkan karier lakonan.

“Diakui ramai peminat kenal saya kerana kisah cinta hingga terlepas pandang kerjaya seni.

“Disebabkan itu saya tidak mahu mengulas lebih-lebih sejauh mana hubungan dengan Ayda ketika ini.

“Cukuplah saya beritahu kami berkawan rapat dan dalam fasa mengenali hati budi.” katanya.

Kata Nabil, selain mengacara, dia mahu mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.

“Memang saya ada berlakon watak kecil tetapi tidak serius sebelum ini.

“Antaranya penampilan dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda di samping Sarah,” katanya.

Nabil ditemui pada majlis sidang media jalinan kerjasama diantara Digital Content Connection (DCC) dan Ace Pictures yang berlangsung di sebuah hotel di Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Menerusi program itu, DCC dan Ace Pictures bergabung dalam menyediakan dana untuk penerbit dan pengarah menjayakan projek perfileman.

Bapa beri lampu hijau

Bercerita lanjut perihal lakonan, Nabil bersyukur akhirnya keluarga mendapat lampu hijau untuk bergiat aktif sebagai pelakon.

“Sebenarnya, bapa baru sahaja beri kebenaran untuk saya menceburi bidang lakonan.

“Sebelum ini, bapa hanya izin saya mengacara sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai watak pula, kata Nabil, dia belum bersedia melakonkan watak hero lagi.

“Saya sudah bersedia untuk serius dalam bidang ini.

“Saya juga tidak menolak jika ada tawaran berganding dengan Ayda dalam drama selepas ini.

“Namun, saya belum sedia untuk melakonkan watak berat atau hero kerana masih dalam proses belajar,” katanya.

Apapun, kata Nabil, dia berharap ada penerbit dan pengarah sudi menawarkannya berlakon drama dan filem tahun ini.

“Saya mahu melakonkan watak pembantu dulu dan mahu bekerjasama dengan pengarah yang boleh membimbing saya.

“Saya juga tidak kesah menghadiri proses uji bakat sebelum ditawarkan watak dalam lakonan,” katanya.

Perkembangan lain, Nabil rancak mengusahakan bisnes milik keluarga membabitkan platform ‘e-commerce’ yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:01 AM