LINA (kiri) bersama Limra.
LINA (kiri) bersama Limra.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Pelakon veteran Ramli Mohamed atau Pak Limra meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat sakit tua, malam tadi.

Penolong Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rena Tan berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 8.20 malam pada usia 81 tahun.

Katanya, arwah sempat menghadiri Program All Star Buka Panggung, Ahad lalu dengan diberi penghargaan daripada sebuah stesen televisyen.

"Arwah sebelum ini menyatakan kerinduan terhadap rakan-rakan dan sebaik dibawa ke program itu, dia cukup gembira," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Rena, Allahyarham hidup di zaman Tan Sri P Ramlee dengan melakukan kerja di belakang tabir.

Katanya, arwah juga memegang watak sampingan dalam filem arahan seniman agung itu selain membintangi filem Pagar Pagar Cinta arahan AR Badul.

"Pak Limra dimasukkan ke Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih pada 2017 kerana patah tulang pinggul selepas terjatuh. Baru-baru ini, arwah tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Dia juga perlu memakai lampin pakai buang, makan bersuap, kurang pendengaran dan percakapan tidak jelas," katanya.

Jelasnya lagi, Allahyarham memiliki seorang isteri yang kini sakit dan tidak mempunyai anak kandung.

Pak Limra pernah berkhidmat sebagai kerani di pejabat Seniman dengan menguruskan pendaftaran dan kad keahlian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas Zohor, hari ini.

PAK Limra (berkerusi roda) bersama artis veteran yang dijemput menghadiri Program All Star Buka Panggung pada Ahad lalu.
PAK Limra (berkerusi roda) bersama artis veteran yang dijemput menghadiri Program All Star Buka Panggung pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 2:14 PM