HANI (kiri) dan Zue.
HANI (kiri) dan Zue.
Oleh Najiy Jefri


HAMPIR tiga tahun bernaung di bawah syarikat rakaman penyanyi antarabangsa, Yuna iaitu Yuna Room Records, penyanyi duo, Hani & Zue kini memilih bergerak sendiri.

Mengakui banyak ilmu yang ditimba sepanjang diurus tadbir syarikat pengurusan itu, dua wanita ini yakin mereka mampu meneruskan kerjaya nyanyian.

Kata Zue, dia bersyukur dipertemukan dengan Yuna kerana dia antara penyanyi yang tidak lokek memberikan pandangan dan berkongsi muzik.

“Kami diintai Yuna selepas dia melihat persembahan kami pada 2013. Bagaimanapun, kami hanya bersetuju menyertai pengurusan Yuna pada 2016. Sepanjang tiga tahun bersama Yuna Room Records, terlalu banyak pengalaman yang kami raih.

“Semua yang bekerja di bawah Yuna Room Records termasuk Yuna sendiri sangat baik dan tidak sombong apabila kami minta tunjuk ajar. Malah, mereka jujur untuk membantu dan mengajar kami cara memperbaiki mutu persembahan.

“Malah, Yuna juga seorang yang pemurah dan sentiasa memberi idea untuk menghembuskan nafas yang baharu bagi Hani & Zue,” katanya.

Menurut Zue, sejak bergerak sendiri tahun ini, jalan yang dipilih itu bukan mudah tetapi mereka perlu mencabar diri bagi mengekalkan kedudukan dalam industri.

“Diakui, terasa bebannya apabila bergerak sendiri. Sedikit sukar untuk kami mencari peluang mengadakan persembahan malah promosi kena buat sendiri.

“Jika ada peluang, kami mahu mencari syarikat pengurusan lain yang mungkin dapat menawarkan kelonggaran dari segi pemilihan dan pembikinan muzik. Bagaimanapun, buat masa ini kami akan terus bergerak sendiri dengan bimbingan rakan industri,” katanya.

Biarpun sudah tampil dengan beberapa single sejak 2014, nama Hani & Zue mungkin masih kedengaran asing.

Meskipun mempunyai seleksi lagu yang menghiburkan dan berkualiti, mereka seakan-akan sukar menembusi hati peminat. Bagaimanapun, Hani & Zue tidak pernah mengalah.

“Mungkin lagu kami kurang pendedahan di arus perdana menyebabkan ia belum melekat di hati pendengar. Barangkali kami harus menghasilkan lagu yang lebih bersesuaian dengan permintaan semasa serta mesra radio.

“Selepas lima tahun berada dalam industri ini, kami bersyukur sudah ada pengikut setia yang sentiasa menyokong karya kami. Merekalah yang sentiasa membakar semangat kami untuk terus berkarya sebaik mungkin,” katanya.

Perkembangan lain, Hani & Zue melancarkan single terbaharu berjudul Takkan Bisa di platform YouTube, Sabtu lalu.

“Takkan Bisa adalah single ketujuh kami. Ia menceritakan ketelusan cinta dan kesetiaan yang teguh seseorang itu terhadap pasangannya sejak pertemuan pertama mereka yang diharapkan akan berkekalan selama-lamanya.

“Takkan Bisa kami hasilkan dua tahun lalu tetapi baru tahun ini kami berkesempatan merakamkannya. Takkan Bisa disiapkan dalam masa sebulan lebih dan menyaksikan Zue bertindak selaku penerbit.

“Kami kini dalam proses menghasilkan album yang dijangka menemui peminat awal atau pertengahan tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:00 AM