ERNIE seperti serik untuk berlakon lagi buat masa ini kerana watak untuk sembilan episod memerlukannya hampir sebulan di lokasi penggambaran. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syanty Octavia Amry


AKIBAT tidak tahan dengan tekanan, penyanyi Ernie Zakri mengakui serik dan hampir menarik diri daripada menjayakan drama bersiri Suri Katriana.

Ernie, 27, berkata, ini adalah kali pertama dia berlakon dan tidak menyangka wataknya sangat berat kerana turut bermain dengan emosi dan perasaan.

“Pada awal ditawarkan watak untuk drama ini saya teruja menerimanya kerana ia memerlukan saya menyanyi dan menari yang sudah biasa dilakukan.

“Saya sangka hanya sekadar itu saja, tambahan pula terbabit untuk sembilan episod di mana keseluruhan ada 49 episod.

“Tetapi selepas memulakan penggambaran baru saya tahu betapa susahnya watak ini kerana ia berat dan mencabar kemampuan diri,” katanya.

Katanya, pada awal dia seperti mahu menarik diri kerana berasa putus asa namun atas sokongan produksi dan pelakon yang terbabit membuatkan dia terus kuat.

Malah Ernie berkata, dia seperti serik untuk berlakon lagi buat masa ini kerana watak untuk sembilan episod memerlukannya hampir sebulan di lokasi penggambaran.

“Pelakon yang terbabit dalam drama ini bukan calang-calang semuanya berpengalaman dan itu antara sebab juga mengapa saya rasa putus asa.

“Tetapi saya bersyukur mereka semua sangat membantu malah tidak sedikit pun memperlekehkan pelakon baru seperti saya,” katanya.

Selain Ernie, drama berkenaan turut dilakonkan oleh Ummi Nazeera, Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:56 PM