SAZZY menemani Nazril yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas terbabit kemalangan ketika berbasikal Ahad lalu. FOTO Instagram Sazzy Falak
Ramlah Zainal


“ALHAMDULILLAH, keadaan suami semakin baik dan stabil di bawah pemantauan doktor di hospital.

“Suami juga dijangka menjalani pembedahan di bahagian tulang selangka bila keadaannya lebih stabil,” kata pengacara dan pelakon terkenal Sazzy Falak, 38, ketika mengulas keadaan suaminya, Nazril Idrus yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ini.

Nazril dimasukkan ke HKL selepas mengalami kecederaan teruk kerana terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal bersama rakannya pagi Ahad lalu.

Menurut Sazzy, tulang selangka sebelah kiri suaminya patah empat dan tiga tulang rusuknya juga retak kerana kemalangan terbabit.

“Suami juga mengalami kesukaran untuk bernafas tetapi dengan pemantauan rapi daripada doktor dan jururawat, insya-Allah, keadaannya akan semakin baik.

“Walaupun sangat penat tetapi saya tetap bersyukur dengan keprihatinan semua rakan yang membantu termasuk untuk mendapatkan rawatan terbaik buat suami.

“Suami juga memilih untuk dirawat di HKL kerana hospital ini memiliki pasukan ortopedik terbaik bagi merawat kecederaan dialami,” katanya kepada Harian Metro.

Apapun, Sazzy juga mengucapkan terima kasih buat semua rakan dan pihak yang menghulurkan bantuan dan mendoakan kesihatan suaminya.

“Terima kasih kepada rakan rapat yang datang melawat suami di hospital.

“Begitu juga doa daripada semua pihak dan peminat yang mendoakan kesihatan suami,” katanya.

Terdahulu, Sazzy berkongsi kemalangan yang menimpa suaminya menerusi Instagram (IG) Stories miliknya semalam.

Menurut Sazzy, suaminya juga mengalami kecederaan teruk selepas terjatuh ketika berbasikal bersama rakannya, Ahad lalu.

Katanya, suaminya juga akan ditahan selama beberapa hari untuk pemantauan rapi doktor di hospital.

Perkongsian Sazzy di laman IG turut mendapat ucapan daripada peminat dan rakan artis yang mendoakan kesihatannya kembali pulih.

Antara rakan artis ialah Awal Ashaari, Tiz Zaqyah, Linda Rafar, Emylia Rosnaida dan ramai lagi.

Sazzy atau pemilik nama sebenar, Sazlini Shamsul Falak berkahwin dengan pelakon dan pengacara yang kini bekerja sebagai perunding kewangan, Nazril Idrus, 45, pada 2006.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang anak kembar perempuan iaitu Lily Imaan dan Tiara Rose, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:18 PM