NEETA harap peminat tidak tersinggung dan jelas mengenai keakrabannya yang berpelukan dengan Han Byul dalam final Big Stage 2019. FOTO Sairien Nafis
Georgie Joseph


PENYANYI, Neeta Manishaa berharap peminat yang kurang senang akan tindakan spontannya berpelukan dengan Han Byul pada final Big Stage 2019 Ahad lalu tidak tersinggung dan memaafkannya.

Neeta, 25, yang berketurunan Cina-India-Siam berkata, dia terlalu gembira dengan kemenangan Han Byul dan kebetulan peserta dari Korea Selatan itu juga terus memeluknya.

“Hubungan saya dengan Han Byul memang sangat akrab sepanjang pertandingan itu dan dia sudah saya anggap seperti abang. Kemesraan kami bagaimanapun tidak cukup daripada seorang kawan.

“Untuk pengetahuan umum juga, kami sama-sama bukan Islam dan setiap kali berjumpa akan berpeluk sebagai kawan. Namun, saya tidak mahu salahkan penonton jika ada yang melihat aksi itu tidak elok.

“Apapun, saya berharap peminat tidak tersinggung dan jelas mengenai keakraban itu. Lagipun, kami sama-sama mahu berkongsi kegembiraan sewaktu kemenangannya itu sebagai tanda syukur yang tidak terhingga,” katanya.

Sebagai artis bukan Islam, Neeta juga berjanji akan sentiasa menjaga adabnya selepas ini apalagi kini namanya semakin dikenali selepas program itu.

Menurutnya, dia yang sudah arif dengan batas pergaulan serta asam garam bergelar artis sentiasa belajar memperbaiki diri demi menjaga reputasinya.

“Saya dibesarkan dengan ramai kawan Melayu dan kebanyakan teman baik saya pun memang Melayu. Saya faham dan akan sentiasa menjaga sensitiviti daripada segi batas pergaulan itu.

“Cuma saya berharap warganet akan beri teguran dengan kata-kata yang lebih berhemah. Maklumlah sekarang kita banyak baca komen negatif di internet dan sepatutnya medium ini digunakan untuk sebar mesej positif,” katanya.

Ahad lalu, Neeta yang juga vokalis IAmNeeta berjaya muncul naib juara program terbabit selepas tewas tipis kepada Han Byul. Sebagai wakil Malaysia, dia berharap prestasinya juga berjaya membanggakan rakyat negara ini.

“Lama saya nantikan saat ini dan berusaha memberikan persembahan sebaik mungkin pada final pertandingan itu. Saya harap sudah memberikan yang secukupnya untuk membuktikan penyanyi Malaysia juga hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:58 PM