NICO G kini dianggotai (dari kiri) Affa, Nico dan Dino. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA buat keputusan ambil mayat kerana mayat tak bercakap," kata anggota Nico G, Nico, mengimbas pekerjaan sebagai pemandu van jenazah yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 46, berkata, kebetulan seorang rakannya mempunyai saluran untuk dia menjalankan kerjaya 'mencabar' itu.

"Katanya, kalau aku panggil, kau datang ambil. Bukan mayat orang Melayu saja tapi pelbagai kaum.

"Saya jawab tak kisah, belasah sajalah apa mayat yang ada kerana dah malas nak fikir apa-apa lagi," katanya.

Menurutnya, dia nekad memilih kerja itu kerana kecewa selepas kumpulan Nico yang diasaskannya berpecah sekitar hujung 1990-an.

"Saya terlalu kecewa kerana usaha, tenaga dan wang yang dikeluarkan untuk membentuk kumpulan ini pada era itu terkubur begitu saja.

"Tanggungjawab yang saya pikul ketika itu terlalu berat. Nico ada penari sekitar tujuh orang. Saya kena tunjukkan tanggungjawab pada ibu bapa mereka.

"Takkan guna tenaga anak mereka tanpa sebarang bayaran," katanya.

Selain Nico, kumpulan berasal daripada singkatan nama Network International Chicanos Organization yang ditubuhkan pada 1992 itu turut dianggotai oleh Muzaffar Shah Baharin (Affa) dan Shah Rosli (Dino).

Mereka hanya bertahan merakamkan tiga album iaitu Buatan Los Angeles (1993), Realiti (1995) dan Alamak! (1996) sebelum dibubarkan.

Bercerita berkenaan pekerjaan yang dilakukan, Nico berkata, dia dibantu oleh seorang rakan untuk mengambil mayat menggunakan van miliknya.

"Sebenarnya, saya pun bukan jenis reti duduk diam dan suka bekerja. Saya ambil mayat di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Universiti dan banyak lagi.

"Kami bekerja secara persendirian. Kadang-kadang kami ambil mayat mangsa bunuh, mayat dalam longkang, mayat yang tak dituntut. Semua ini tiada orang nak ambil.

"Saya cari rezeki dan ambil saja apa jenis mayat tanpa kira kaum. Kalau tiada duit atau keluarga mangsa bayar sikit pun saya tetap jalankan kerja," katanya.

Menurut Nico, kerjanya hanya dilakukan pada waktu malam kerana ketika itu pemandu van jenazah sudah tamat waktu bekerja.

"Semua mayat yang diambil ada cerita tersendiri. Banyak perkara pelik yang dialami tapi biarlah saya simpan sendiri.

"Kita tak boleh cakap sebarangan dan sentiasa bersangka baik walaupun dengan jenazah bayi.

"Saya pernah hantar mayat seorang India balik ke Negeri Sembilan dan dalam perjalanan alami peristiwa pelik apabila tiba-tiba lebih 1,000 lembu melintas jalan raya," katanya.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan Nico ialah apabila menghantar jenazah seorang kerabat diraja sebuah negeri di utara ke rumahnya.

"Waktu kami sampai, keadaan keluarganya mulanya sedih. Tapi apabila saya masuk, anak dan saudara-mara arwah kenal saya sebagai artis dan keadaan mula jadi kecoh.

"Rakan segera suruh saya masuk dalam van untuk redakan keadaan.

"Saya pun bergegas masuk dalam van kerana takut mengganggu mereka. Suasana sedih yang mulanya menyelubungi mereka sudah hilang ketika itu," katanya.

Enam bulan bekerja sebagai pemandu van jenazah, Nico akhirnya berhenti selepas dinasihatkan oleh bapanya.

"Saya akur dengan nasihat ayah dan bakar papan pelapis yang digunakan untuk melapik jenazah.

"Saya tak ralat kerana sudah mencuba satu bidang yang pelik berbanding bidang asal," katanya.

Kekecewaan Nico terubat apabila dia kembali bergabung dengan rakan asalnya pada 2014 menggunakan nama Nico G dan menghasilkan album himpunan lagu popular mereka serta single berjudul Belia Perwira.

Mereka seterusnya menghasilkan single berjudul Dunia Alam Fana pada 2017.

Lagu Inilah Nasibku versi baru turut dijadikan sebagai runut bunyi filem Showdown The Movie terbitan Primeworks Studios.

"Saya juga kini aktif berlakon dan sekarang sedang sibuk dengan penggambaran drama berjudul Misteri Chalet Ana arahan Opy Zami terbitan Opy Global Pictures Sdn Bhd.

"Nico G masih aktif dan akan melancarkan lagu dan muzik video terbaru berjudul KGB pada 9 Oktober ini.

"Ia sempena ulang tahun tiga dekad pembabitan kami dalam industri hiburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:02 PM