AZLEE (kiri) dan Mamat mewakili kumpulan Stone dalam persaingan Maharaja Lawak Mega 2019. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"SAYA percaya masih kelakar malah yakin dengan kemampuan diri," kata Azlee Jaafar, 52, atau Azlee Senario yang pertama kali menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019.

Katanya, dia mengambil keputusan memeriahkan rancangan realiti itu selepas menerima jemputan.

"Saya dihubungi Mamat (Sepah) dan Achong (Sweet Child) untuk bersama kumpulan Stone. Hati ini amat berbelah bahagi kerana sepatutnya saya bukan peserta tetapi mengisi kerusi juri," katanya.

Ia berikutan Senario sudah berada di tahap tertinggi apabila memiliki 19 filem sendiri, drama, siri televisyen dan lagu.

"Kawan-kawan cakap Senario dah 'legend', buat apa nak masuk. Apabila berfikir semula (dalam masa yang lama), apa salahnya saya memeriahkan rancangan ini," katanya.

Kata Azlee, lawak baharu dan lama tiada perbezaan kerana ia kesinambungan dan yang membezakan hanyalah peredaran masa.

"Saya tidak kisah persaingan pelawak baharu kerana masing-masing ada cara," katanya pada sidang media pengumuman peserta MLM 2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, pengalaman menghiburkan peminat bersama Apek, Lan Pet Pet, Yasin, Ilya, Wahid dan Hamdan akan digunakan sebaiknya untuk menghiburkan penonton.

Sementara itu Mamat berkata, penyertaan semulanya dalam rancangan realiti itu adalah untuk membuktikan kemampuan diri.

"Jangan kaitkan dengan anggota Sepah kerana saya juga memiliki kemampuan diri. Saya ada pengalaman menggarap bahan jenaka apabila dinobatkan Juara Raja Lawak pada 2009," katanya yang menerima sokongan Life Vaper.

MLM 2019 yang bersiaran 1 November ini menampilkan 11 peserta iaitu Rojak (Bell, Chiwan, Rahim), Puteh (Mamak, Ali, Man), Bocey (Achey, Abam, Fad), Zero (Atu, Syaiful, Syarif), Rare (Ajak, Ropie, Pak Ya) dan JBorn (Khir Rahman, Vicha, Joey).

Selain itu Stone, Jambus (Tauke, Tapai) termasuk dua peserta Indonesia iaitu Rahmet dan Popon serta kumpulan dari Brunei, Cali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:24 PM