HATTAN
Rudy Imran Shamsudin


BUKAN mudah memujuk penulis lirik terkenal, Bob Lokman kembali aktif menulis selepas pernah menyatakan hasrat mahu bersara dalam bidang itu.

Selepas hampir 15 tahun, rezeki menyebelahi Datuk Hattan apabila Bob memberikan persetujuan mahu kembali bekerjasama dan menghasilkan lagu berjudul 5 Oktober yang juga single terbaharu Hattan.

Hattan ketika ditemui pada majlis pelancaran single itu di Petaling Jaya, baru-baru ini berkata, pada awalnya dia hanya mencuba nasib melamar Bob untuk kembali bekerjasama.

Sebelum ini, Bob pernah menghasilkan lirik lagu popular Hattan seperti Rendang Tak Berbuah dan Memburu Rindu.

“Waktu itu saya dan komposer 5 Oktober, Jaybon memikirkan siapakah penulis sesuai untuk menghasilkan lirik lagu itu. Memandangkan kami rapat dan pernah bekerjasama dengan Bob, jadi kami memutuskan kembali bekerja dengannya.

“Bagaimanapun, kami tidak menaruh harapan tinggi. Kami hanya cuba nasib dengan meluahkan hasrat hati. Masa mula-mula melamarnya, Bob tidak mengambil serius sehinggalah saya bertanya sekali lagi.

“Waktu itu saya katakan kepada Bob supaya hasilkan lirik untuk didedikasikan buat arwah anaknya, Mohd Adam. Namun, dia hanya diam. Saya tidak memaksa dan benar-benar berharap pada rezeki,” katanya.

Beberapa hari kemudian Bob kembali dengan lirik 5 Oktober yang mengisahkan kerinduannya kepada arwah anaknya.

Menurut Hattan, dia meminta Bob mengabadikan kenangan kepada arwah Adam kerana dia sendiri mengenali arwah dengan begitu rapat.

Kesedihan turut dirasai Hattan apabila dia menangis dan tidak dapat meneruskan nyanyian ketika mempersembahkan lagu berkenaan dalam majlis itu.

Hattan berkata, ketika rakaman situasi sama juga turut dirasai apabila dia beberapa kali berhenti menyanyi dalam studio kerana terimbau kenangan bersama arwah.

“Arwah Adam seorang anak yang baik. Lagu ini saya abadikan sebagai pesanan kepada anak muda supaya menghargai ibu bapa mereka sebagaimana Adam menghargai ibu bapanya

“Adam juga membesar di hadapan saya. Sewaktu Bob menjadi promoter konsert dan saya menyanyi di seluruh Malaysia, Adam akan ikut. Dia pandai menghormati orang tua walaupun ketika itu masih kecil,” katanya.

Katanya, Bob dengan Adam memang sangat rapat. Adam juga membantu bapanya itu ketika jatuh sakit dan turut membantu Bob berniaga makanan.

Tarikh 5 Oktober tahun lalu adalah tarikh Adam meninggal dunia selepas pengsan di rumah mereka di Sungai Buloh, Selangor. Arwah juga mempunyai sejarah mengalami ketumbuhan dalam otak sewaktu kecil.

Hattan berkata, antara sebab lain dia mahu Bob menghasilkan lirik untuk single terbaharunya itu

ialah kerana dia mahu membawa penulis lirik berpengalaman itu keluar dari persaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:00 AM