LUQMAN (kanan) rancak bersembang dengan Hans dan Kavita.
Oleh Norhayati Nordin


SEBUT saja TV AlHijrah (TVAH) semestinya ramai sedar ia sinonim dengan kandungan menjurus kepada masyarakat Melayu beragama Islam.

Seiring situasi kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, TVAH mengambil inisiatif menyusun semula kandungan siarannya yang lebih mesra penonton termasuk mendekati golongan bukan Muslim.

Sebagai percubaan, TVAH menerbitkan program bual bicara santai selama 30 minit berjudul Sembang Rahmah yang dikendalikan pengacara berpengalaman, Luqman Hakim Abdul Malik, 36.

Program yang menjemput ahli panel undangan dalam kalangan selebriti dan penggiat seni bukan Muslim ini akan mula ditayangkan pada 21 Oktober ini, setiap Isnin jam 9 malam.

Menyediakan lapan episod rakaman untuk siaran musim pertama, program pengenalannya sudah ditayangkan pada 16 September lalu yang mendapat sambutan baik dan positif.


KRU produksi bersama Seelan (berdiri kiri).

Penerbitnya, Nurainah Nabeeha Hassan berkata, Sembang Rahmah diterbitkan bagi menarik penonton bukan Muslim dalam kalangan belia dan dewasa untuk mereka lebih memahami pendekatan serta ajaran Islam sebenar.

“Gaya hidup yang ditetapkan dalam Islam ini sangat indah, cuma kerana isu ‘Islamophobia’ kini mula ‘menyerang masuk’ membuatkan penjelasan sebenar perlu dibuat.

“Apatah lagi, memang menjadi tanggungjawab TVAH untuk bersama-sama menjelaskannya kepada masyarakat bukan Islam di negara ini untuk mereka memahami dengan baik,” katanya.

Menurut Nurainah, dengan adanya program bual bicara seperti Sembang Rahmah diyakini dapat membantu mengurangkan perasaan tidak selesa bukan Muslim terhadap Islam.

“Sejak kebelakangan ini, banyak sangat isu timbul yang mewujudkan persepsi kurang tepat bukan Muslim terhadap Islam. Pada hal, ia tidak sepatutnya berlaku.

“Ini kerana masyarakat Islam terutama orang Melayu di negara ini sangat menghormati bangsa lain kerana mengutamakan kedamaian dan kemakmuran negara,” katanya.

Antara panel jemputan dalam Sembang Rahmah adalah Seelan Paul, Melissa Thng, Levonia Ricky, Sasi The Don, Santesh, Low Ngai Yuen, Adeline Tsen, Dr Soo Wincci, Datuk Hans Isaac dan Kavita Sidhu.

Antara topik menjadi pilihan akan dibincangkan seperti Saya Anak Malaysia, Boleh Tuju Lagu? Teh Tarik Satu! dan banyak lagi yang pastinya sarat dengan pelbagai maklumat positif terhadap ajaran Islam .

Ruang pendapat bangsa Malaysia

Di bawah Jalur Gemilang, bangsa Malaysia sangat unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.

Oleh itu, TVAH juga terbuka untuk ditonton bukan Muslim kerana kandungan siaran yang sarat mesej positif.

Sesuai buat tontonan semua lapisan masyarakat dan peringkat usia, kini adalah masanya TVAH tampil dengan perubahan.

Nurainah berkata, perkongsian pengalaman panel jemputan didapati mampu mendorong menggalakkan perpaduan.

“Ini termasuk menjalin persefahaman sambil mengetengahkan kepelbagaian adat, budaya dan kepercayaan agama dianuti masyarakat Malaysia.

“Ia nyata bersesuaian dengan konsep Sembang Rahmah yang dilihat sebagai program ‘edutainment’ kerana mempunyai nilai didik hibur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:15 AM