BARISAN pelakon filem Kolong (dari kiri) Annie, Vanessa, Wan Raja dan Luthya.
Norhayati Nordin


WANG selalu membuatkan manusia leka dan hilang arah. Malah, demi wang juga semua sanggup dilakukan untuk memperolehnya.

Seiring frasa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’, faktor wang itu sentiasa menyebabkan manusia gelap mata walaupun cara mendapatkannya tidak elok.

Selain wang, cinta buta terhadap pasangan juga mendorong manusia kehilangan punca hingga ada kala enggan berfikir secara logik dan positif.

Apatah lagi, demi menjaga hati pasangan yang cemburu kerana gagal menerima kekurangan diri, segala jaminan kasih dicurah bagi memastikan terbuktinya kesetiaan.

Dua plot cerita inilah yang dapat disimpulkan menerusi perjalanan kisah dimuat dalam filem bergenre seram dan misteri, Kolong.

Bukan cerita berkonsepkan ‘hantu’ yang membalas dendam, ia menjurus pada mengenal sifat diri manusia yang gagal bertindak secara rasional.

Pengarahnya, Zul Abu Kassim berkata, dia cuba membawa kelainan pada jalan cerita yang mahu diketengahkan dalam Kolong.

Katanya, cerita hantu dengan elemen dendam sudah biasa ditonton hingga penonton dilihat mampu meneka sejauh mana kesudahan kisahnya di pertengahan jalan.


ANTARA babak dalam filem Kolong.

“Namun, untuk cerita dimuatkan dalam filem Kolong ini semestinya sebagai pengarah, saya berusaha cuba garapkan pautan kisah yang berbeza.

“Elemen wang yang mudah membuatkan manusia menjadi tamak termasuk keinginan membuktikan keluhuran cinta terhadap pasangan, sering mendorong tindakan di luar jangka,” katanya.

Kali pertama menggalas tanggungjawab selaku sutradara, Zul berkata, ia satu cabaran besar buatnya terutama bagi membalas kepercayaan penerbit.

“Bukan mudah mendapat peluang. Jadi, dengan kepercayaan diberi, saya sedaya upaya menyiapkan karya filem Kolong ini sebaik mungkin.

“Apatah lagi, menariknya filem ini di mata saya apabila perlu memastikan wujud kerjasama serasi di antara watak utama yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, kini apa diharapkannya semoga filem Kolong yang ditayang pawagam tanah air mulai 17 Oktober ini akan mendapat sambutan baik penonton.

Zul berkata, jika tidak ada aral dan mengikut perancangan diatur penerbit, filem Kolong juga akan ditayang di pawagam di Indonesia.

Barisan pelakon yang membintangi filem Kolong ialah Wan Raja sebagai Hairi, Annie Arifin (Hanna), Luthya Suri (dari Indonesia sebagai Seri), Izzy Riff (Rudy), Nor Albaniah (ibu Seri/Rudy), Joey Daud (Dr Umar), Mamak Puteh (Putih) dan Vanessa Angle (dari Indonesia sebagai Citra).


ANNIE sebagai Hanna.

SINOPSIS FILEM KOLONG

Demi mengejar cita-cita bergelar pelakon popular, Seri sanggup melakukan apa saja untuk kekal cantik dan namanya tidak tergugat.

Oleh itu, Seri meminjam wang daripada lintah darat untuk mengejar impiannya terus kelihatan jelita. Dia juga sanggup mempertaruhkan hidup ibunya yang buta bersama adik lelaki, Rudy di kampung.

Terperangkap dalam masalah hutang dicipta, akhirnya membawa Seri berkenalan dengan seorang lelaki buta, kaya dan hidup bersendirian dikenali sebagai Hairi.

Tinggal berseorangan di banglo atas bukit yang sepi dan jauh dari penduduk kampung, mencetuskan persepsi negatif masyarakat setempat yang mendakwa kediaman Hairi ada ‘penunggu’.

Ditambah pula dengan kisah ramai pembantu rumahnya lari akibat takut dan sering diganggu hantu arwah isteri Hairi. Namun, menariknya Hairi menawarkan gaji lumayan kepada pembantu rumahnya.

Ia turut mendorong Seri tertarik mahu menjadi pembantu rumah di banglo Hairi demi melunaskan hutangnya. Apakah Seri dapat bertahan kerja di rumah diselubungi misteri itu?

Apatah lagi, Seri juga tidak dibenarkan masuk ke dalam sebuah bilik di bahagian bawah banglo itu yang dipanggil kolong. Apakah disembunyikan oleh Hairi?

Malah, adakah Seri diancam bahaya? Sejauh manakah ‘hantu’ Anna yang juga arwah isteri Hairi mengganggu ketenangan Seri sepanjang bekerja di banglo sepi itu?


ZUL bersama pelakon filem Kolong pada majlis tayangan perdana, baru-baru ini. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:30 AM