TIARA tunaikan permintaan peminat dan pentaskan semula PGL The Musical.
Syafil Syazwan Jefri


PENERBIT dan pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina mengumumkan bahawa pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) akan dipentaskan semula menjelang Julai 2020.

Tiara ketika ditemui di majlis ulang tahun ke-21 Enfiniti Group yang dikendalikannya berkata, pementasan semula itu bakal menyaksikan banyak pembaharuan lebih segar.

"Pada Jun 2020, kami akan membawa PGL The Musical ke Singapura dan dipentaskan di Esplanade, Singapura. Pada Julai, 'Puteri Gunung Ledang' akan kembali ke Malaysia.

"Kesemua aspek akan diperbaharui termasuklah barisan pelakon, pentas, corak persembahan dan sebagainya untuk disesuaikan dengan penonton masa kini," katanya kepada Harian Metro.

Tiara yang juga bertindak sebagai pengarah PGL The Musical ketika ditemui berkata, setiap tahun, pihaknya diminta oleh peminat setia filem dan teater itu untuk dipentaskan semula.

"Setiap kali kami muncul dengan teater seperti P Ramlee The Musical, The Secret Life of Nora dan Ola Bola The Musical, peminat akan bertanya dan ada yang minta kami pentaskan semula PGL The Musical.

"Jadi, kali ini kami tunaikan permintaan mereka dan pentaskan semula. Kalau ada rezeki, saya berharap supaya ada peluang untuk bawa teater ini ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sesi uji bakat untuk mencari pelakon PGL The Musical akan diumumkan menerusi Facebook dan Instagram Enfinity (M) Sdn Bhd.

"Uji bakat terbuka kepada semua yang berbakat dalam lakonan, nyanyian dan tarian terutamanya tarian tradisional Jawa.

"Kami akan maklumkan maklumat terbaru mengenai sesi uji bakat seperti lokasi dan tarikh menerusi platform media sosial," katanya.

Teater PGL The Musical sebelum ini pernah dipentaskan pada Februari 2006 dan membariskan pelakon hebat antaranya Tiara Jacquelina sendiri, Adlin Aman Ramlie, Stephen Rahman-Hughes dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:58 PM