JIHAN anggap kemenangan sebagai pencapaian sangat besar sepanjang bergelar pelakon, pelawak dan pengacara. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Rudy Imran Shamsudin


JIHAN Muse mendedikasikan anugerah Persembahan Komedi Terbaik dimenanginya di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2019 kepada seluruh warga kerja telefilem Keluarga Baha Don.

Jihan berkata, dia terkejut apabila diberitahu pihak pengurusannya, LOL Entertainment dia memenangi anugerah yang turut mempertandingkan setiap karya dan bakat dari seluruh Asia Pasifik itu, hari ini.

Jihan memenangi anugerah itu menerusi persembahannya dalam drama bersiri yang turut menampilkan Remy Ishak sebagai pelakon utama dan disiarkan di saluran perkhidmatan penstriman Viu.

“Pada saya tiada apa dapat dikatakan mengenai kemenangan ini selain daripada rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang mendokong dan menyokong kerjaya seni selama ini terutama suami, anak dan keluarga.

“Pada saya kemenangan ini satu pencapaian sangat besar sepanjang bergelar pelakon, pelawak dan pengacara. Pastinya ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam apa saja aktiviti seni dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut LOL Entertainment, pemenang dinilai sebagai yang terbaik di negara mereka dalam kategori dipilih. Ada 35 kategori bagi setiap negara yang dipertandingkan di dalam AAA.

Pemenang akan mewakili negara masing-masing bersama 15 negara lain pada malam gala byang akal berlangsung Disember nanti.

Sebelum itu Anugerah Kreatif Akademi Asia NAMA 2019 GALA VENUE, anugerah paling berprestij Asia Pasifik untuk kecemerlangan kreatif, Anugerah Kreatif Asia Academy mengumumkan tempat untuk anugerah Grand Prix 2019 dan Karpet Merah.

Anugerah Kreatif Akademi Asia 2019 akan diadakan di bangunan paling bersejarah di Singapura iaitu Teater Victoria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 5:26 PM