MAMAT sudah pun buka mata tetapi tiub pernafasan belum ditanggalkan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


ISTERI pengarah terkenal, Mamat Khalid iaitu Hasmah Hassan bercadang membawa suaminya bercuti ke kawasan peranginan di tepi pantai sebaik dibenarkan keluar dari hospital nanti.

Hasmah yang mesra dengan sapaan kak Intan ketika dihubungi berkata, suaminya sangat sukakan laut dan ketenangan pantai.

"Apatah lagi, suami saya seorang yang banyak idea. Ilham dalam fikirannya boleh diumpama seperti air laut, mencurah-curah.

"Sebab itu, saya terfikir mahu membawa dia (Mamat) bercuti seketika dengan bersiar-siar di pantai," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak mahu Mamat terus memikirkan soal kerja terutama pembikinan filem terbarunya berjudul Enam sebaik keluar dari hospital nanti.

"Sebagai isteri, saya mahu dia berehat dengan sebaiknya dahulu dan yakin Mamat akan sukakan percutian di pantai itu," katanya.

Mengulas destinasi pantai pilihannya, Hasmah berkata, masih lagi difikirkan tempat menarik untuk dikunjungi nanti.

Ditanya mengenai perkembangan terkini Mamat, Hasmah berkata, keadaan kesihatan suaminya semakin stabil.

"Dia (Mamat) sudah pun buka mata tetapi tiub pernafasan belum ditanggalkan. Namun, apa yang mengejutkan dia minta kertas untuk menulis sebagai arahan.

"Perkara ditulis pula menjurus pada perihal membabitkan urusan pembikinan filem Enam yang kini dalam pra produksi.

"Keadaannya itu membuatkan doktor perlu memantau lagi. Doktor tidak mahu dia berada dalam keletihan kerana fikirkan kerja," katanya.

Katanya, suaminya seorang yang teliti dalam urusan kerja apatah lagi untuk filem Enam itu.

"Perjalanan cerita yang digarap Mamat untuk filem Enam ini sangat menarik. Jadi, disebabkan itu Mamat sangat teliti, cerewet dan komited untuk hasil kerjanya.

"Ditambah, dia seorang yang tidak suka memberi kesukaran kepada orang lain terutama kru terbabit dalam pembikinan filem ini," katanya.

Menurut Hasmah, sifat Mamat yang banyak berfikir itu memerlukan suaminya dibawa bercuti untuk menenangkan fikiran.

Semalam, Harian Metro melaporkan Hasmah dan keluarga kecewa dengan tindakan segelintir pelawat di hospital yang sanggup menyelinap masuk ke ruang Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan Mamat semata-mata untuk mengambil gambar.

Perbuatan disifatkan tidak beradab pelawat itu disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan jururawat pada pagi Ahad lalu.

Untuk rekod, Mamat atau nama sebenar Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke ICU di sebuah hospital pakar di Ipoh, Perak, pada petang Sabtu lalu selepas mengadu sesak nafas.

Berita berkaitan

Keluarga Mamat Khalid kecewa

Mamat Khalid sesak nafas, masuk hospital

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:49 PM