JASMIN menegaskan tindakannya membawa kes itu ke muka pengadilan bertujuan membela maruah keluarga. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph


AKTRES Jasmin Hamid bersyukur tindakan tegasnya mengemukakan saman fitnah terhadap tiga individu yang menghina wajah anak angkatnya, Rohanna Abdul Hamid sebagai ‘bapok’ di media sosial membuka mata ramai.

Jasmin, 46, berkata dia menerima banyak mesej peribadi (DM) di Instagram bertanyakan hal itu dan mengambil kesnya sebagai panduan untuk melakukan tindakan sama.

“Ramai orang ingat selama ini tiada klausa sebegitu dan menganggap berdepan dengan komen warganet hanya perkara remeh.

“Saya lakukan ini untuk mendidik orang ramai bahawa kita perlu jaga lisan dan tidak sewenang-wenangnya komen melampau.

“Saya banyak dapat DM di Instagram berhubung tindakan ini dan mereka mahu lakukan seperti yang dibuat. Alhamdulillah, bagi saya mereka harus teruskan saja dan bersyukur tindakan ini dapat membantu buka mata orang lain,” katanya.

Jasmin juga menegaskan tindakannya membawa kes itu ke muka pengadilan bertujuan membela maruah keluarga terutama Rohanna dan bukannya meraih publisiti.

Dia juga bersyukur anaknya itu sudah beransur pulih daripada trauma yang dialaminya.

“Saya bukannya suka meraih publisiti dengan perkara sebegini tapi apabila membabitkan maruah keluarga dan anak tiba-tiba dikecam, sebagai ibu, saya harus bangkit. Lagipun, proses saman-menyaman ini sebenarnya remeh dan bukan mudah.

“Alhamdulillah nasib dia mula terbela. Dia juga semakin pulih daripada trauma,” katanya sewaktu ditemui di majlis pratonton filem lakonan terbarunya berjudul Anak Perjanjian Syaitan.

Terdahulu, Jasmin tampil mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap tiga individu pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun seorang wanita yang baru melahirkan bayi lelaki, Izzatul Hairiyah Abdullah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan dilakukan dan akur dengan tuntutan dikemukakan Jasmin.

Selain Izzatul, ada dua lagi warganet yang dikenal pasti bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Bagaimanapun perincian mengenai individu terbabit akan dimaklumkan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:47 PM