DARLING tak kecewa kerana dah bersedia dengan sebarang risiko. FOTO Salhani Ibrahim
Ridzuan Abdul Rahman


BIARPUN menampilkan barisan pelakon dikenali ramai serta jalan cerita menarik, filem Hero: Jangan Bikin Panas masih gagal mencatat kutipan yang memuaskan.

Penerbitnya, Naszreen Ngasri yang sinonim dengan panggilan Darling berkata, hari ini adalah hari terakhir tayangan filemnya yang bermula sejak 3 Oktober lalu.

"Tayangan terakhir pada hari ini bermakna filem Hero memenuhi kuota tayangan yang diperuntukkan iaitu dua minggu.

"Filem ini ditayangkan di 66 pawagam seluruh negara dan kalau dicampur dengan pawagam di Singapura jumlahnya 69.

"Saya nampak sesetengah pawagam mengehadkan tayangan filem ini sejak hari pertama lagi. Satu hari hanya dua kali tayang," katanya kepada Harian Metro.

Filem terbitan NS Star arahan Azizi 'Chunk' Adnan itu mengisahkan kehidupan anggota bomba lakonan Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Syafiq Farhain, Elisya Sandha dan Tash Yong.

Darling mengakui pelbagai faktor mempengaruhi sambutan dingin filem Hero antaranya saingan daripada filem luar.

"Mungkin pawagam ada penilaian tersendiri yang menjadi penanda aras filem ditayangkan dan itu saya kurang pasti.

"Saya pun kali pertama menghasilkan filem. Jumlah 66 panggung itu kiranya di tengah iaitu tak terlalu tinggi dan tak juga terlalu rendah.

"Mungkin dengan jumlah panggung sebanyak ini, kutipannya setakat itu sahaja," katanya.

Darling berkata, kutipan rendah yang diterima tidak melemahkan semangatnya sebagai penerbit.

"Filem ini terbitan syarikat saya dan ada unsur positif yang boleh diambil kira.

"Saya belajar banyak perkara dan insya-Allah pada masa akan datang segalanya akan jadi lebih baik daripada segala segi.

"Saya juga tak kecewa kerana dah bersedia dengan sebarang risiko. Kita suka tak bermakna orang pun suka," katanya.

Menurutnya, dia juga membuat kajian mendalam sebelum menghasilkan filem itu.

"Susah untuk saya ulas kegagalan filem ini. Mungkin terlalu banyak filem ditayangkan jadi puncanya.

"Mungkin juga resipi saya kurang menjadi dan kekurangan promosi. Banyak benda yang perlu saya perbaiki.

"Saya akan buat post mortem untuk lihat kegagalan yang berlaku," katanya.

Darling berkata, filemnya itu mendapat bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam jumlah yang kecil.

"Ini adalah proses pembelajaran. Kalau saya tak buat filem ini, tak tahu cabarannya.

"Sekurang-kurangnya saya tahu 'permainan' dalam bidang ini dan strategi yang sepatutnya digunakan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:23 PM