Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan Oscars 2020 untuk kategori Filem Animasi Terbaik.
Ardini Sophia Sina


FILEM Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les' Copaque Production mencipta sejarah tersendiri apabila disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan Oscars 2020 untuk kategori Filem Animasi Terbaik.

Berita gembira itu dikongsikan menerusi Instagram rasmi Les' Copaque Production dan Upin Ipin Official serta menerima ucapan tahniah bukan hanya dari Malaysia tetapi juga Indonesia.

"Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa yang lain bagi pencalonan Oscars 2020.

"Terima kasih rakyat Malaysia di atas sokongan luar biasa terhadap filem ini," tulisnya.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bersaing dengan filem animasi antarabangsa seperti Frozen 2, Toy Story 4, The Angry Birds Movie 2 dan The Secret Life of Pets.

Filem animasi itu juga dipilih sebagai finalis di Palm Springs Animation Festival 2019 California, Amerika Syarikat.

Ia juga dipilih sebagai pemenang di Montreal International Film Festival Animation 2019 (ANIMAZE) dalam kategori Feature Film.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal diberikan skor 9.6/10 oleh Internet Movie Database (IMDb) sekali gus mengatasi skor filem Paskal yang juga mendapat skor tinggi 8.8/10.

Terdahulu, filem yang mula ditayangkan pada 21 Mac lalu itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM25 juta hanya selepas tiga minggu ditayangkan dengan jumlah penonton mencecah 2 juta di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:58 PM