CHE Muhammad Hafiz tidak terkejut dengan tindakan Lufya yang dilihat hanya ingin meraih perhatian. FOTO Instagram Che Muhammad Hafiz
Sudirman Mohd Tahir


“DIA aibkan saya, saya diam. Dia buat dakwaan bukan-bukan, saya masih diam. Malah, dia lebih banyak buka aib rumah tangga,” kata suami, penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Che Muhammad Hafiz, 29, berkata, tindakan Lufya yang secara berterusan memberi kenyataan hanya membuka pekung di dada dan mengaibkan diri sendiri.

Malah, dia tidak terkejut dengan tindakan wanita itu yang dilihat hanya ingin meraih perhatian.

“Sudah-sudahlah berdrama. Lambat atau cepat orang akan tahu juga kebenarannya. Saya masih ada tahap kesabaran dan boleh berfikir secara waras.

“Saya hanya mengenangkan dia ibu kepada anak saya jadi tidak patut untuk bertindak seperti mana yang dilakukannya sekarang. Kalau dengan cara itu dia berasa puas dan dapat malukan saya, terpulanglah.

“Apa yang penting, saya dan keluarga tahu. Macam dikatakan sebelum ini, biarlah mahkamah yang membuat keputusan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Che Muhammad Hafiz, dia tidak pernah lupa tanggungjawab sebagai bapa kepada anak mereka iaitu Laana Haura.

“Dia kata cuba nak berbaik dan menjadi kawan demi anak. Tapi, tidakkah dia berfikir apa yang dia sudah buat pada saya? Dia mengaibkan saya dan menjejaskan kehidupan kami yang sepatutnya boleh diselesaikan secara harmoni.

“Mengenai anak kami, tidak mengapa dia masih mempunyai hak. Saya tidak pernah lupa tanggungjawab saya pada anak,” katanya.

Katanya, ketidakhadirannya kelmarin sudah dimaklumkan pada pihak mahkamah.

“Tidak perlu diperbesarkan dan biar mahkamah yang menentukan.

“Perkara yang berlaku adalah membabitkan hubungan kekeluargaan antara suami dan isteri.

“Saya percaya adalah lebih baik diselesaikan dengan baik tanpa perlu membuka aib mana-mana pihak,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 26 November 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Berita berkaitan

'Lufya rayu suami segera selesai kemelut [METROTV]'

'Tak perlu ulas, biar mahkamah tentukan'

'4 bulan saya digantung tak bertali' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:08 PM