AMAI sudah membintangi Syurga Nur, Akademi Polis, Hero Bomba, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Suamiku Paling Sweet.
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON, Amai Kamarudin kesal apabila sikap toleransinya dieksploitasi oleh segelintir pengarah dan produksi yang mengambil kesempatan menawarkan harga rendah bagi mendapatkan khidmatnya.

Amai, 31, yang sudah membintangi pelbagai drama seperti Syurga Nur, Akademi Polis, Hero Bomba, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Suamiku Paling Sweet berkata, situasi yang berlaku membuatkan dia kurang berminat berlakon drama dan lebih suka membintangi filem serta iklan komersial.

"Muka saya memang kena dengan lakonan filem dan iklan komersial. Berkenaan drama, dulu memang saya aktif berlakon.

"Tapi saya mula beralih kepada filem dan iklan selepas melihat bayaran yang diberikan untuk drama sangat tak bersesuaian dengan saya.

"Cubalah fikir, saya dah banyak berlakon filem dan buat komersial, takkanlah harga yang ditawarkan masih di takuk lama," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon bernama sebenar Muhammad Kamal Kamarudin itu berkata, tidak semua pengarah dan syarikat produksi bersikap demikian, namun dia tetap kecewa dengan apa yang berlaku.

"Mereka nak bayar terlampau rendah, ibaratnya hanya habis untuk saya isi minyak kereta buat pergi berlakon.

"Bayangkan ada antara pengarah ini sememangnya rapat dengan saya, tapi masih lagi ambil kesempatan.

"Dia hubungi saya suruh datang berlakon. Apabila ditanya berapa bayaran, dia desak saya datang untuk penggambaran terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, apabila penggambaran selesai, bayaran yang diberikan memang agak mengejutkan.

"Saya jenis yang suka berlakon dan warnakan karakter. Apabila jadi begini, memang sedihlah. Dia dah kenal lakonan saya tapi masih lagi buat begini.

"Sekarang sebelum terima sesuatu tawaran, awal-awal lagi saya tanya berapa bayaran yang akan diterima," katanya.

Terkini, Amai gembira kerana terbabit dengan filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi arahan Anwardi Jamil yang akan menemui penonton pada 31 Oktober nanti.

Dia sekali lagi menjadi pilihan Anwardi apabila ditawarkan memegang watak sebagai Seniman Agung Tan Sri P Ramlee menerusi filem Showtime 1958 yang baru selesai pengambaran pada 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 9:46 PM