Nur Hidayu (tengah) RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selagor. FOTO/AQO IMRAN
Sudirman Mohd Tahir


PENDAKWAH bebas Nur Hidayu Mohd Kamil, 27, diumumkan juara Pendakwah Muslimah (PM) musim kelima anjuran stesen televisyen TV Alhijrah yang berlangsung di sini malam tadi.

Kemenangan Hidayu itu melayakkannya membawa pulang RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selagor (LZS), RM10,000 sumbangan Manja Kaseh Arjuna Kaseh selaku hadiah misteri, trofi tajaan MBI Selangor, pakej umrah bernilai RM7,000 dan kad tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekali gus mengetepikan lima finalis lain.

Hidayu yang juga ibu kepada tiga anak lelaki itu nekad untuk meneruskan aktiviti dakwah apatah lagi selepas mendapat kad tauliah daripada JAIS.

“Saya takkan berhenti di pentas akhir ini sahaja sebaliknya akan terus berdakwah seperti apa yang dibuat sebelum ini. Malah, kemenangan ini membuatkan saya lebih bersemangat.

“Terima kasih kepada suami, anak-anak dan seluruh keluarga yang sentiasa memberikan sokongan. Mereka pembakar semangat saya untuk buat yang terbaik dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Nurul Hanis Nadiah Ngaliman, 33, yang menerima RM4,000 sumbangan LZS, trofi dan kad tauliah mengajar.

Tempat ketiga Nur Aqidah Mawardi, 29, menerima RM3,000 sumbangan LZS, trofi dan kas tauliah mengajar.

Berada ditempat keempat, Siti Annisha Anuar, 26, kelima, Wan Hazila Wan Azeri, 27, dan keenam, Nur Asyiqin Aziz, 25.

Selaku penerima saguhati, masing-masing mendapat RM1,000 sumbangan LZS, trofi dah kad tauliah mengajar.

Anugerah Duet Terbaik pula dinobatkan kepada Nur Hidayu dan Siti Annisha masing-masing mendapat RM1,000 sumbangan LZS.

Pada pentas akhir, setiap peserta diberi dua tugasan iaitu solo dan duet.

Format penjurian menggunakan 100 peratus juri profesional yang terdiri daripada Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Kesemua finalis mendapat bimbingan daripada mentor luar seperti Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Dr Rosmawati Mohamad Rasit.

Program yang bersiaran langsung dari Auditorium Brainy Bunch, Cyberjaya itu menampilkan gandingan pengacara Amin Idris dan Farah Diana Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:57 PM