EBBY Yus. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

DIA berjiwa kental. Baginya, selagi nyawa dikandung badan, jangan sesekali mengalah.

Itulah prinsip pelakon dan pelawak Ebby Yus, 55. Dia enggan terus bergantung harap dengan bantuan keluarga, rakan dan orang ramai kerana yakin masih mampu berdikari.

Biarpun baru-baru ini Ebby dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana demam dan batuk yang teruk akibat jerebu, tahap kesihatannya kini stabil.

“Memang saya pernah mendapatkan rawatan selama enam hari di IJN kerana masalah jantung ketika jerebu lalu.

“Namun, Alhamdulilah kerana Allah mengembalikan semula kesihatan saya.

“Selain itu, rezeki saya dalam karier seni pun masih ada. Syukur kerana pihak stesen TV sudi memanggil saya,” katanya.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid kini mewarnai sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut musim kelima (JKKK5) di TV3.

Sitkom disiarkan setiap Ahad itu menggandingkan Ebby dengan Ropie, Issey Fazlisham, Shuk Sahar dan Ain Edruce.

Berbicara mengenai watak Pak Din lakonannya, Ebby berkata, tawaran berlakon sitkom JKKK5 adalah rezeki pertamanya selepas sihat semula.

“Sepanjang saya sakit, memang tidak dapat bekerja. Jadi, apabila sembuh Allah beri saya rezeki berlakon.

“Saya terima dengan hati terbuka apatah lagi berlakon dalam sitkom JKKK5, kami bagaikan satu keluarga.

“Saya jadi lebih bersemangat di set penggambaran kerana dapat bertemu dan dikelilingi rakan-rakan.

“Watak Pak Din juga sangat bermakna. Saya selesa dengan watak ini dan seronok menjayakannya,” kata Ebby.

Bersyukur dengan sambutan positif penonton terhadap lakonannya, Ebby berkata, dia akan terus bekerja mengikut kemampuan diri.

Ujarnya, meskipun lebih mengutamakan kesihatan, lakonan menjadi terapi yang mampu memberikan ketenangan kepada dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:30 AM