MAZLEELA. FOTO: Hafiz Sohaimi
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI yang popular dengan lagu Tabah, Mazleela mendedahkan dia ada masalah lemah injap jantung sejak tiga tahun lalu.

Katanya, disebabkan itu juga berat badannya semakin susut dan dia tidak berupaya untuk menyanyi lagu bernada tinggi dengan baik.

“Bagaimanapun, apabila menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) saya tidak boleh menjadikan masalah kesihatan sebagai alasan. Mahu atau tidak saya cuba juga memberikan yang terbaik.

Katanya, masalah injap jantung yang dihadapi tidak terlalu serius dan kini bergantung kepada ubat.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Mazleela berkata, sewaktu melakukan pemeriksaan tiga tahun lalu doktor mendapati ada beberapa saluran di injap jantung sudah hampir tersumbat.

Mazleela juga enggan mengaitkan penyingkirannya pada minggu kedua GV6 dengan penyakit yang dihadapi.

“Sebenarnya saya berdepan dengan masalah teknikal membabitkan ‘ear monitor’. Ia sudah berlaku sejak minggu lalu.

“Apapun yang berlaku sebenarnya sudah tertulis rezeki saya setakat ini sahaja. Walaupun menjadi peserta pertama tersingkir, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Astro atas kesempatan ini,” katanya.

Mazleela berkata, walaupun tidak lagi beraksi di pentas GV6, dia akan terus aktif menyanyi.

“Sebenarnya saya masih aktif menyanyi malah hujung bulan ini saya ada jemputan untuk mengadakan persembahan dan tawaran itu diperoleh sebelum saya menyerta GV6,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 4:04 PM