ZOEY Rahman.
Norhayati Nordin


“WALAU beribu kali perlu jelaskan hubungan rapat dengan penyanyi Siti Nordiana hanya sahabat baik, saya akan lakukan. Ini kerana dari dulu sampai sekarang hubungan kami berpaksikan persahabatan, tidak lebih daripada itu,” kata pelakon dan pengacara Zoey Rahman.

Zoey, 34, turut menafikan dia cemburu melihat keakraban hubungan Siti Nordiana atau Nana dengan penyanyi Khai Bahar.

Apatah lagi, pasangan duet lagu Satukan Rasa itu kini sibuk di lokasi penggambaran drama yang menggandingkan mereka.

Ketika menjawab soalan media berhubung perasaan cemburu, Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman berkata tidak ada sebab untuk dia cemburu.

“Kenapa saya nak cemburu dengan hubungan rapat Nana bersama Khai? Dia (Nana) bukan kekasih saya.

“Malah, kedua-duanya kawan baik saya. Sebagai sahabat, saya akan terus menyokong kerjaya seni mereka.

“Apapun, saya yakin Nana lebih mengenali siapa saya kerana persahabatan kami sudah lama terjalin,” katanya.

Sehubungan itu, Zoey turut memohon maaf kepada peminat Nana dan Khai yang salah faham dengan persahabatannya.

Baru-baru ini, Zoey banyak menerima mesej langsung (DM) di Instagram (IG) daripada peminat Nana dan Khai.

Kebanyakan mereka kurang senang dengan tindakan Zoey yang dianggap cuba mengganggu publisiti drama percintaan lakonan Nana dan Khai.

Zoey berkata, dia masih tahu menjaga batas pergaulan dalam persahabatan mereka dan hingga kini tidak pernah berseorangan ke rumah Nana.

“Jika berkunjung ke rumah Nana, saya selalu bersama pengurus. Belum pernah lagi saya ke rumahnya seorang diri. Apatah lagi, Nana pun tinggal bersama ibu bapa dan anaknya, Rayyan Nakhaie. Tidak terkecuali, pengurus dan jurusoleknya pun ada sama,” katanya.

Mengulas hubungan rapat dengan Rayyan katanya, anak lelaki tunggal Nana itu sudah dianggap seperti anak saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:32 PM