MAYA Karin. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Georgie Joseph


PELAKON popular Maya Karin tumpang bangga dan mengucapkan tahniah kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Paka, Dungun, Wan Muhammad Yusuf Wan Roslan yang memenangi pertandingan ‘storytelling’ di Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris Peringkat Kebangsaan di Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Maya, 39, sebelum ini mencetuskan kontroversi berikutan memuat naik status di Twitter seolah-olah memperlekeh murid sekolah di Terengganu tidak pandai berbahasa Inggeris ketika menghadiri satu program di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), awal bulan ini.

“Tahniah Wan Muhammad Yusuf Wan Roslan. Saya tabik dengan anda,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Wan Muhammad Yusuf menjelaskan kenyataan Maya dalam statusnya di Twitter sebelum ini silap walaupun dia sudah tampil menjelaskan perkara sebenar.

“Saya harap kak Maya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini kerana ia boleh mengguris hati murid di sini (Terengganu), termasuk saya. Kenyataan itu tidak patut keluar daripada seorang yang begitu dikenali,” katanya.

Bagaimanapun, Maya ketika dihubungi enggan mengulas mengenai dakwaan murid terbabit yang seolah-olah menempelaknya.

“Komen saya sama seperti yang sudah dijelaskan di Twitter sebelum ini. Saya tak padam apa-apa dan boleh rujuk di situ. Saya hanya bercakap mengenai pendidikan dan keyakinan diri secara umum,” katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini, Maya menjelaskan dia tidak berniat memperlekehkan sesiapa dalam statusnya di Twitter yang tular mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun di Terengganu tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris.

Pelakon Ombak Rindu itu menegaskan kenyataan dibuat itu adalah secara umum untuk mengutarakan isu mengenai kesamarataan pendidikan terutama dalam kalangan pelajar muda dan bukan fokus orang Terengganu.

Wan Muhammad Yusuf yang mewakili Terengganu dalam pertandingan ‘storytelling’ bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut itu diumumkan sebagai pemenang tempat pertama.

Dalam pertandingan itu, Wan Muhammad Yusuf berjaya mengetepikan saingan peserta Selangor dan Pahang yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:09 AM