FESTIVAL Seni Selat Melaka 2019 turut cungkil bakat muda menerusi pertandingan kesenian.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Festival Seni Selat Melaka 2019 (FSSM 2019) yang menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan di Dataran Memorial Kemerdekaan, Kota A Famosa, Melaka, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata, program tiga hari bertemakan Selat Melaka Warisan Nusantara itu disambut meriah.

Katanya, antara aktiviti dianjurkan adalah persembahan seni budaya, warisan, pelancongan, keusahawanan, gaya hidup dan mencungkil bakat muda dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikal pada Malam Gala Selat Melaka, baru-baru ini.

“Dalam persembahan ini, tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli diarak menaiki beca dan kereta lembu.

“Perarakan ini menjadi perlambangan keseniaan dan kebudayaan yang mewakili semua kaum,” katanya.

Menurut Ezlina, program diacarakan Datuk Jalaluddin Hassan itu menyajikan persembahan dondang sayang, pantun, caklempong, tari randai dan piring lampung oleh JKKN Negeri Sembilan.

Bagi JKKN Johor, mereka menampilkan kehebatan seni ghazal, kuda kepang, barongan, zapin dan persembahan muzik gambus.

“Sebagai tuan rumah (Melaka), kami mempersembahkan tarian singa dan naga Wen Wei, aktiviti kesenian baba dan nyonya serta persembahan kebudayaan oleh perkampungan Portugis,” katanya.

Turut dipersembahkan adalah dondang sayang Melaka, rebana, perarakan beca dan kereta lembu selain aktiviti kesenian masyarakat Melayu, Cina dan India.

Katanya, FSSM yang mendapat kerjasama 33 agensi kerajaan negeri, tujuh agensi swasta, 11 persatuan dan dua komuniti turut mengadakan persembahan sisipan di Menara Taming Sari, Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan Mega Mall.

“Bagi aktiviti sampingan, kami menganjurkan Bazaar Citrarasa Inap Desa Homestay yang mengumpulkan lapan inap desa di Melaka. Ia bertujuan mempromosikan masakan tradisi seperti nasi lemak, rojak, air soda, asam pedas pari, masak lemak perut rebung, nasi lemak daging salai, bihun sup dan laksa,” katanya.

Dalam pada itu Bazaar Selat Melaka turut menghimpunkan hasil kraf tangan selain pameran kereta antik dan pembukaan gerai pameran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pusat Zakat Melaka, Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Festival ini tidak bertujuan pertunjukan dan persembahan semata-mata kerana kami juga mencungkil bakat muda menerusi pertandingan mini lantai cilik, pertandingan tarian, pertarungan tari joget, pertandingan bintang dondang sayang dan sukan tradisional,” katanya.

Menurut Ezlina, FSSM 2019 diangkat sebagai acara Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Melaka

ke 81 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:00 AM