JOHAN (kanan) dan Isma (kiri) akan bertemu dalam satu babak teater muzikal Siti Di Alam Fantasi bulan depan. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PELAWAK terkenal dan penyampai radio Era FM, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan tidak ada masalah untuk bekerja dengan Isma Halil Hamzah walaupun dia pernah mengkritik pelawak sepertinya dan mempertikaikan kredibiliti mereka sebagai penyampai radio.

Johan dan Isma bakal bergandingan dalam pementasan teater muzikal kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi yang akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 21 hingga 26 November ini.

Kata Johan, sewaktu ditemui di majlis sidang akhbar Siti Di Alam Fantasi di IB, hari ini, sebagai penggiat seni dia harus bersikap profesional.

“Ia bukan satu isu dan saya enggan memanjangkan komen mengenai kritikan yang pernah diketengahkan oleh Isma.

“Sebagai orang yang mempunyai pengalaman sebagai penyampai radio, pada saya dia ada hak untuk memberikan pandangan.

“Saya sendiri sebelum menjadi penyampai radio juga pernah mendengar program yang dia kendalikan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sepanjang menjayakan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi itu, dia dan Isma hanya akan bertemu dalam satu babak.

“Saya boleh saja berkata tidak mahu bergandingan dengan Isma, tetapi untuk apa. Mengapa saya mahu menyekat rezeki orang. Itukan tidak bagus.

“Lagipun bukan dia menganiaya keluarga saya ataupun mencuri harta. Selagi perkara itu tidak berlaku, saya boleh saja bekerja dengan dia,” katanya.

Kata Johan, apabila bekerja sudah tentu dia akan menghormati Isma sebagai orang yang lebih tua dan rakan sekerja.

Menurutnya, apa yang penting apabila bekerja dia melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan perkara yang boleh mengganggu tumpuan.

Sebelum ini Isma yang kini mengendalikan siaran radio Internet, Bapakku FM meluahkan bahawa dia tidak faham dengan penyampai radio sekarang yang berlawak tetapi gelak sendiri.

Dia turut meluahkan kekesalan dengan sikap penyampai radio pada masa ini yang menjadikan stesen radio sebagai bahan ketawa semata-mata dan tidak melakukan tugas mereka sebaik mungkin sebagai penyampai informasi.

Dalam kenyataan balas, Johan menyatakan apa dipersembahkan kebanyakan pelawak yang menjadi penyampai radio adalah trend terkini yang mana pendengar mahukan muzik, informasi dan hiburan.

Katanya, bagaimana cara berhibur, ia terpulang pada penyampai radio masing-masing.

Menurutnya, penyampaian di radio perlu berbeza mengikut peredaran zaman.

Bagaimanapun, Johan tetapi menghormati teguran dan nasihat daripada penyampai radio otai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:25 PM