Skip this ad x
SITI Nurhaliza (dua kanan), Ahli Lembaga Pemegang AmanahYayasan IJN, Datin Julini Mohd Ali (dua kiri), dan Ketua Eksekutif Kumpulan Simplysiti Sdn Bhd, Azuddin Rahman (kanan) pada sidang media majlis pelancaran kempen Simplysiti di Hati 2019 di Hotel New World, Petaling Jaya.
Norhayati Nordin


DATUK Seri Siti Nurhaliza, 40, sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang bersikap melampaui batas kepada dia dan keluarganya.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan pengurus beliau, Rozi Abdul Razak yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas pengguna media sosial tidak beretika terhadap artis di bawah pengurusannya.

Siti berkata, sudah tiba masa beliau bertindak lebih tegas dengan segelintir netizen yang bertindak keterlaluan sebagai pengajaran kepada mereka.

“Selama ini memang saya ambil pendekatan berdiam diri dan tutup mata dengan apa saja tindakan kurang adab mereka. Namun, sekarang tindakan tegas akan dilakukan kepada pengguna laman sosial yang dikesan atau didapati bersikap melampaui batas pada saya, anak dan keluarga,” katanya.

Siti berkata, kemudahan media sosial tidak sepatutnya digunakan secara negatif dengan tindakan memfitnah, mencerca dan menghina di sebalik akaun palsu diwujudkan.

Terdahulu, Siti melancarkan kempen SimplySiti Di Hati 2019 yang bekerjasama dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengumpul dana untuk membantu pembedahan lima kanak-kanak pesakit jantung terpilih.

Siti berkata, menerusi kempen khidmat masyarakat SimplySiti itu sebanyak RM70,000 disasarkan untuk dikumpul bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak berkenaan mendapat sinar kehidupan baru.

Pernah menunggu sehingga 11 tahun untuk menimang cahaya mata, Siti berkata, beliau sangat memahami perasaan ibu bapa yang anak mereka mengalami masalah kesihatan.

“Saya sendiri pun memang risau dan tak tentu arah apabila anak, Aafiyah mengalami sakit atau demam. Apatah lagi, baru-baru ini Aafiyah pernah ditahan di wad kerana sakit. Inikan pula kanak-kanak yang ada masalah jantung dan perlu dibedah segera. Namun, ibu bapa mereka berhadapan masalah kewangan dan perlukan bantuan,” katanya.

Antara kanak-kanak akan dibantu itu ialah R Mugilan, Sian Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi dan Nur Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi.

Mereka dijadual akan menjalani pembedahan di IJN pada November dan Disember ini.

Siti berkata, kempen prihatin itu yang diperkenalkan Simply Siti sejak 2011, berjaya mengumpul dana lebih RM200,000 untuk disalurkan kepada Yayasan IJN dan sudah membantu rawatan 14 kanak-kanak pesakit jantung.

Siti berkata, beliau sangat puas dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkempuan yang anak berhadapan risiko penyakit kronik.

“Perasaan puas saya tak boleh dinilai dengan wang ringgit atau dengan kata-kata. Syukur dengan rezeki Allah ini yang wajar untuk saya kongsikan,” katanya.

Pada majlis itu, Siti turut melancarkan lagu barunya berjudul Terang ciptaan kompser Aubrey Suwito dan lirik ditulis Shah Shamsiri sebagai lagu tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 10:45 AM