NADIA Brian kini berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Nadia Brian kecewa dengan tindakan sebuah portal hiburan berbentuk blog menulis artikel dengan hanya mengangkat komen warganet yang mengaibkan dan menjatuhkan reputasinya.

Nadia ketika dihubungi berkata, dia sendiri tidak tahu dari mana penulis blog itu mendapatkan komen warganet kerana bahan yang dimasukkan di dalam artikel itu tidak ada di media sosialnya.

"Saya rasa ini sudah keterlaluan. Blog itu menulis artikel berkaitan diri saya dengan hanya memetik komen daripada warganet yang menulis komen negatif mengenai saya.

"Yang hairannya, bila saya cari semula komen itu di platform media sosial, tak ada pula. Jadi, dari mana mereka mendapatkan komen yang dimasukkan dalam artikel itu?," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, warganet boleh menulis apa sahaja, namun, sebagai penulis blog yang menyampaikan cerita, mereka seharusnya melakukan kerja dengan lebih beretika.

"Warganet boleh cakap atau tulis apa saja, tapi kenapa penulis itu nak letakkan komen negatif sebagai tajuk? Itu kan komen yang tidak sahih dan tajuk itu hanya untuk menarik trafik ke laman web mereka sahaja.

"Saya sendiri belajar dalam bidang penyiaran di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media selama tiga tahun dan tahu bagaimana etika dalam media. Bagaimana mereka boleh menulis sesuatu hanya berdasarkan komen orang lain, tanpa menemuramah saya sendiri.

"Inilah beza antara penulis blog dan juga wartawan dari media yang asli kerana wartawan menjalankan kerja mengikut etika," katanya.

Nadia kini berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Artikel itu menjatuhkan reputasi saya dan sekarang sedang berbincang dengan pihak pengurusan, peguam, tunang dan keluarga untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Nadia kini sedang melakukan persiapan untuk majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 9 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:55 PM