ABAM dan isteri okey saja kalau jarak umur anak mereka dekat. FOTO Arkib NSTP


PELAWAK Abam Bocey mengakui sedang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua meskipun anak sulungnya baru berusia lima bulan.

Abam berkata, dia tidak suka merancang untuk mendapatkan zuriat sebaliknya berserah kepada rezeki dan takdir.

“Saya dan isteri sentiasa cuba serta ikhtiar untuk anak kedua pula sebab bagi saya, soal anak ini kita tak boleh nak merancang. Takut nanti rancang untuk tiga tahun lagi, tiba-tiba selepas itu tak ada rezeki.

“Jadi sekarang ini, saya sentiasa berusaha saja walaupun anak pertama baru sahaja lima bulan dan kalau ada rezeki, saya terima. Isteri pun okey saja sebab dia pun ada adik-beradik yang ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media teater Siti Di Alam Fantasi di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Abam, biarlah jarak usia anaknya nanti dekat supaya nanti apabila dia tua, mereka sudah besar dan boleh menjaganya.

“Sekarang ini saya dan isteri okey saja kalau jarak umur anak kami dekat sebab nanti senang nak menjaga. Takut nanti kalau rancang dan menimang zuriat pada usia tua ketika itu kudrat juga sudah lemah.

“Alhamdulillah sejak dikurniakan anak saya banyak meluangkan masa di rumah. Seronok bila tengok anak ada depan mata dan menjaganya,” katanya.

Terdahulu isteri Abam, Siti Norhidayah melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Syed Uthman Hamzah di Hospital Selayang pada 14 Jun lalu.

Abam dan Norhidayah berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:24 PM