HATTAN (tengah), Hazama (kiri) dan Azlan Typewriter akan membuat persembahan pada konsert Rock Tri-O di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur City Centre pada 16 hb dan 17 November 2019. FOTO: Khairul Azhar Ahmad.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Datuk Hattan menyarankan mana-mana persatuan berkaitan muzik bersuara dan wujudkan stesen radio sendiri demi membela nasib pemuzik tanah air.

Menurutnya, stesen radio yang ada hari ini bersikap 'pilih bulu' dan kerap mendiskriminasi artis lama.

"Tak kisahlah mana-mana persatuan pun, kalau mereka berani bersuara dan wujudkan stesen radio, saya yakin tak akan berlaku lagi diskriminasi dan sikap 'pilih bulu'," katanya kepada Harian Metro.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 54, berkata dia bersimpati dengan rakan-rakan artis seperjuangan yang menghasilkan lagu namun tidak dimainkan radio.

"Ada ramai rakan-rakan yang keluarkan lagu tetapi tidak diputarkan di radio. Saya pun baru sahaja rakamkan lagu baru dan berhabis kira-kira RM15,000. Kalau ada radio mainkan syukur tetapi jika sebaliknya tak mengapalah.

"Namun, bagaimana pula yang tiada peluang buat lagu? Mereka tak dapat menyertai program realiti seperti Gegar Vaganza dan sebagainya. Bagaimana mereka mahu tanggung hidup?” katanya yang kecewa dengan situasi itu.

Tambah penyanyi lagu Memburu Rindu itu lagi, setiap kali rakan seperjuangan mengadakan konsert, jualan tiket sangat memberangsangkan.

"Setiap kali artis senior adakan konsert termasuklah Datuk M Nasir, tiket sentiasa habis dijual. Jadi, mustahil kalau stesen radio bagi alasan tak ada orang mahu dengar lagu artis lama.

"Baru-baru ini, Anuar Zain ada maklumkan yang dia pernah ke sebuah stesen radio untuk beli iklan namun ditolak dan disarankan ke stesen lain yang lebih sesuai dengan usianya.

"Saya tak ada masalah dengan Budak Budak Baru Nak Up (BBNU) sebab itu rezeki mereka. Cuma, pihak terbabit perlulah jadi lebih adil," katanya.

Terbaru, Hattan bakal berkongsi pentas dengan Hazama dan Azlan (Typewriter) menerusi Konsert Rock Tri-O yang dipimpin konduktor orkestra Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert berkonsepkan Rock dan Orkestra atau digelar Rockestral itu bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC pada 16 dan 17 November ini.

#kw Hattan

#loc Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 6:04 PM