PERSEMBAHAN Ayda Jebat dan Santesh pada malam Anugerah Skrin 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


GARA-gara terjatuh ketika membuat persembahan penutup di Anugerah Skrin 2019 semalam, kaki penyanyi Ayda Jebat bengkak dan lebam.

Ayda ketika dihubungi berkata, insiden terbabit berlaku dengan pantas, namun dia sedaya upaya meneruskan persembahan walaupun terpaksa menahan kesakitan.

“Ketika sedang menyanyikan lagu Temberang dan menari, saya gagal mengimbangkan badan kerana menggunakan kasut tumit tinggi hingga menyebabkan saya tergelincir dan terjatuh.

“Barangkali terlalu teruja juga antara faktor saya gagal mengawal diri. Saya sedaya upaya ingin memberikan persembahan terbaik. Tambahan pula, ini adalah anugerah berprestij .

“Saya mohon maaf jika kesilapan itu mencacatkan persembahan, tapi bersyukur tidak mengalami kecederaan yang teruk cuma lebam. Terima kasih kerana mendoakan kesihatan dan menyukai persembahan saya semalam.

“Bagi saya dalam setiap persembahan pasti ada kesilapan kecil, tapi sebagai penghibur kita perlu bijak mengawal diri dan situasi,” katanya.

Terdahulu, insiden yang menimpa penyanyi itu mendapat reaksi positif dalam kalangan warganet apabila rata-ratanya kagum dengan cara penyanyi itu mengawal pentas.

Malah, Ayda juga dilihat tenang dan tidak gelabah apabila terjatuh ketika rancak menari bersama Santesh pada majlis anugerah yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu.

Menurut salah seorang pengguna Twitter, @AnasZahrin yang menyaksikan insiden terbabit, dia mengakui Ayda seorang penyanyi yang profesional apabila terus kuat meneruskan persembahannya.

“Inilah penghibur yang profesional. Bukan soal dia jatuh tapi bagaimana dia kembali bangkit. Perkara paling menarik adalah dia tetap menari dan meneruskan persembahannya,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 4:21 PM