IZZUE terkejut dan terharu apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan untuk bantu dia dan isteri mendapat zuriat. FOTO Saifullizan Tamadi


PELAKON, Izzue Islam tersentuh hati apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ingin membantu dia dan isterinya, Awin untuk mendapatkan cahaya mata.

Izzue yang berpeluang bertemu Tunku Azizah di belakang pentas ketika pementasan teater Mak Yong pada Oktober lalu berkata, tawaran itu disifatkan sebagai satu pertolongan yang amat bernilai buat dirinya.

"Saya akui terkejut dan terharu apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan untuk bantu saya dan isteri mendapat zuriat.

"Pertemuan ketika di belakang pentas selepas selesai pementasan teater Mak Yong memang cukup manis. Waktu itu, saya tidak banyak cakap sebab segan dan tak tahu nak borak apa.

"Bagaimanapun Permaisuri ada bertanya mengenai kehidupan sebab baginda mengikuti perkembangan saya. Baginda ada kata kalau perlukan pertolongan, beritahu saja," katanya ketika ditemui pada majlis Meet & Greet Wajah Aurawhite Toothpaste X Guardian di IOI City Mall, Putrajaya.

Selain Izzue, wajah Aurawhite Toothpaste terdiri daripada Fasha Sandha dan PU Azman. Aurawhite Toothpaste kini tampil dengan tiga jenis iaitu Whitening Hd Bright, Coconut Charcoal dabn Kayu Sugi Premium.

Menurut Izzue, sehingga kini dia belum berkesempatan bertemu Permaisuri memandangkan jadual kerjanya yang padat.

"Belum ada rezeki untuk bertemu dengan baginda. Saya agak sibuk dengan beberapa komitmen serta sibuk dengan penggambaran sebuah drama.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin awal tahun depan saya akan berjumpa baginda," katanya.

Untuk rekod, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah yang diasaskan baginda menawarkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim (IVF) di sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.

Hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, Izzue dan Awin belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Pasangan itu bernikah pada 2 Jun 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:30 PM