KUMPULAN Qiara kecewa apabila nama dan lagu mereka digunakan sewenang-wenangnya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Ridzuan Abdul Rahman


ANGGOTA kumpulan Qiara meluahkan rasa kesal dengan tindakan beberapa individu yang menggunakan nama mereka tanpa kebenaran.

Kumpulan itu mula mengecapi populariti menerusi lagu Hanya Padamu dan Menyesal pada 1993.

Pada 2016, Qiara kembali aktif dalam bidang seni apabila tampil dengan single berjudul Kembali Padaku bersama anggota Wan Qiara (gitar), AJ (penyanyi), Reza (bass) dan Jon (Drum). Selepas AJ menyertai Mentor Otai, tempatnya digantikan oleh Wan Tod.

Wan Qiara berkata, individu terbabit mengambil kesempatan mencari jalan mudah menggunakan nama kumpulan itu untuk kepentingan sendiri.

“Mereka cari duit dengan ambil persembahan kecil. Malah paling bahaya ada yang ambil deposit tapi tak hadir ke persembahan dijadualkan.

“Saya minta mereka yang nak ambil Qiara untuk sebarang persembahan, boleh berhubung terus dengan saya selaku anggota asal dan pengasas kumpulan ini.

“Saya harap perkara yang tak sihat dan mengelirukan ini dihentikan untuk jaga nama baik kami,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sebelum ini mereka pernah tampil menggunakan nama Qiara & Superfriends untuk projek khas, namun selepas itu kembali kepada nama asal.

“Individu ini hanya penyanyi undangan dan apabila keluar daripada Qiara, dia dah tiada apa-apa ikatan.

“Sebaliknya dia masih lagi mengaitkan nama Qiara di hujung namanya. Ia tak adil kerana dia kini dah bergerak solo.

“Malah Wan Tod pun kalau diundang untuk menyanyi solo dalam pelbagai majlis, dia takkan gunakan nama Qiara kerana ia adalah nama kumpulan,” katanya.

Menurutnya, diikutkan dia sememangnya layak menggunakan nama Qiara atas kapasiti sebagai pengasas, tetapi tidak mahu mengambil kesempatan dan pentingkan diri.

“Saya hanya gunakan nama Ridzuan Ali di Facebook. Ia kerana nama Qiara hanya eksklusif untuk kumpulan ini.

“Ia bukan digunakan secara suka-suka untuk ambil kesempatan dan cari makan. Yang sedihnya dalam kempen politik pun ada individu yang menyokong satu parti tapi kaitkan namanya sebagai bekas penyanyi Qiara.

“Kami amat ralat dan tak suka ia berlaku. Apabila nama dan lagu digunakan sewenang-wenangnya memanglah kami marah,” katanya.

Wan Qiara berkata, individu terbabit menggunakan gambar ketika bersama mereka untuk meyakinkan semua pihak bahawa dia adalah bekas anggota Qiara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:00 PM