KHAI Bahar dan Siti Nordiana antara penyanyi yang mendominasi pencalonan Separuh Akhir Muzik Muzik 34. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI popular serta pemenang anugerah Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-32, Siti Nordiana dan Khai Bahar mengungguli pencalonan Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SAMM 34) yang diumumkan malam tadi.

Karya dihasilkan Khai Bahar iaitu lagu #123 layak untuk bertanding di peringkat separuh akhir bersama lagu duetnya dengan Siti Nordiana, Satukan Rasa.

Siti Nordiana juga turut bertanding dengan sebuah lagi lagu, Hatiku Milikmu yang dicipta sendiri dan lirik ditulis Shana Ahmad.

Komposer dan penulis lirik juga penyanyi, Amylea turut menunjukkan penguasaan apabila empat karya dihasilkan turut dipertandingkan kali ini iaitu Tetap Kamu, Pudar, Bimbang dan Tiada Dirimu.

Senarai 30 lagu yang bakal bertanding di SAMM 34 diumumkan pengacara program mingguan Muzik-Muzik, Sherry Al-Hadad dan Haziq Hussni semalam.

Pencalonan kali ini turut memperlihatkan penguasaan penyanyi berpengalaman yang juga layak bertanding selepas mengungguli carta mingguan Muzik Muzik 34 seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Anta Permana yang dicipta komposer muda juga juara bertahan Anugerah Juara Lagu (AJL), Hael Husaini.

Datin Alyah juga kembali bertanding apabila lagu dendangannya, Jutaan Purnama juga turut layak.

Komposer prolifik, Faizal Tahir layak menerusi lagu Ragaman dan juga pemenang anugerah Vokal Terbaik di AJL ke-32, Ernie Zakri dengan lagu Ku Bersuara.

Keputusan siapakah akan mendendangkan lagu Anta Permana yang menjadi tanda tanya sebelum ini akan diumumkan esok di majlis sidang akhbar khas SAMM 34.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 8:07 PM