DAIYAN mengakui sangat kecewa dengan mentaliti warganet yang suka merendahkan pengamal kreatif tempatan. FOTO Instagram Daiyan Trisha
Georgie Joseph


PENYANYI dan pelakon Daiyan Trisha terkilan serta sedih apabila segelintir warganet memperlekeh usaha kerasnya menerusi lagu terbarunya berjudul I Wanna See Ya selain menyifatkan dia tidak layak mengikut jejak Yuna ke peringkat antarabangsa.

Daiyan, 25, mengakui sangat kecewa dengan mentaliti warganet yang suka merendahkan pengamal kreatif tempatan dan tertanya kenapa mereka perlu tinggalkan komen kasar serta tidak membina.

“Kenapa perlu merendahkan artis yang berusaha menghasilkan seni tidak kiralah tidak dapat tontonan atau wang banyak? Adakah ini satu lagi perangai baru di Malaysia?

“Apa mesej cuba warganet sampaikan kepada pengamal kreatif dan golongan muda yang menyimpan impian besar di luar sana? Kamu mahu kata warga Malaysia tidak perlu cuba untuk tembus ke luar negara disebabkan perjalanannya sangat jauh?

“Adakah mereka sangat suka hancurkan impian orang lain? Jika mereka tidak mahu sokong hasil kerja saya sekalipun, sekurang-kurangnya jangan komen biadap terhadapnya,” katanya.

Penyanyi terbabit juga mengakui sangat bangga dengan Yuna yang membuktikan sebaliknya dan berharap warganet bukan sekadar tunjukkan sokongan hanya selepas artis tempatan mencipta kejayaan besar.

“Saya sangat sukakan Yuna yang dianggap kakak dan menjadikannya inspirasi meskipun dia sendiri turut berdepan situasi sebegini sebelum sampai ke tahap dia berada sekarang.

“Warganet pula hanya akan mula ‘tersedar’ selepas seseorang itu membuktikan kejayaannya. Macam mana kita nak letak artis Malaysia di peta dunia jika terus dengan mentaliti sebegini?,” katanya.

Daiyan memutuskan untuk bersuara mengenai hal itu disebabkan dia mahu warganet yang memiliki mentaliti sebegitu bersikap lebih matang dan positif.

“Kalau kamu suruh untuk abaikan dan tidak beri perhatian kepada individu sebegitu, saya tidak akan boleh mendidik mereka atau kongsi mesej ini. Sudah puas saya cuba diam dan abaikan ramai orang sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, segelintir warganet di Twitter mengejek Daiyan dengan pelbagai komen termasuklah jumlah tontonan video lagunya di YouTube tidak banyak. Tidak ketinggalan, ada yang mengatanya terlalu berangan mahu mengikut jejak Yuna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:57 PM