NUR FATIMAH tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi apabila ada yang mendakwanya cuba meniru imej Dayang. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI, komposer dan peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Nur Fatimah Abd Wahab, menjelaskan ada komen diberikan penonton setia program realiti itu mendakwa dia cuba meniru imej Dayang Nurfaizah, boleh diterima dan ada yang tidak.

Katanya sewaktu ditemui, dia tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi apabila ada yang mendakwanya cuba meniru imej Dayang.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak menyatakan mengenai dakwaan dibuat. Mungkin juga kerana cita rasa sama,” katanya.

Tambahan pula katanya, dari sudut penampilan di atas pentas sepanjang menjayakan konsert GV6, dia turut dibantu pihak pengurusan dan juga atas kelulusan pihak produksi.

“Selalunya mereka memberikan cadangan apa ‘feel and look’ sesuai untuk lagu yang saya dendangkan. Pada saya secara peribadi keselesaan itu jauh lebih penting.

“Saya memang tidak ada rujukan tertentu dalam soal pemakaian mahupun imej apabila tampil di atas pentas GV6,” katanya.

Nur Fatimah berkata, dalam waktu sama dia juga tidak menafikan mungkin kerana teknik solekan yang dilakukan jurusoleknya setiap minggu membuatkan dia kelihatan seakan-akan sama dengan Dayang Nurfaizah.

“Bagaimanapun pada saya apa yang paling penting apabila mengadakan persembahan adalah penyampaian vokal.

“Paling saya titik beratkan adalah sama ada persembahan diterima penonton ataupun tidak. Mereka berpuas hati ataupun tidak. Imej dan penampilan jatuh nombor dua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 7:57 PM