AHMAD mahu memberi inspirasi dan semangat kepada golongan senasib untuk membuat sesuatu yang di luar akal dan kemampuan. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Ahmad Maembong yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) menyasarkan untuk berkahwin pada umur 30 tahun selepas beberapa kali putus cinta.

Ahmad, 26, yang juga adik kepada pelakon, Emma Maembong berkata, kali terakhir dia bercinta adalah bulan lalu.

“Saya bukan jenis yang romantik ketika bercinta. Mungkin sebab itu tak kekal. Saya juga bukan bercita rasa tinggi.

“Memandangkan sekarang sudah solo, jadi saya tidak mahu fikir lagi. Saya nak beri tumpuan pada kerja dan kumpul duit. Kalau ada duit, boleh terus kahwin.

“Jadi, saya menyasarkan untuk berkahwin pada umur 30 tahun. Kalau sekarang fikir soal kekasih, habis duit pada mereka saja,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad ditemui pada sesi ramah mesra barisan pelakon filem Garang bersama media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi filem arahan Kan Varren itu, Ahmad melakonkan watak Reza yang berkongsi melakukan semua watak aksi.

“Walaupun ada disediakan pelakon pelagak ngeri, tapi saya minta untuk buat sendiri. Saya mahu mencabar diri sendiri. Kalau orang biasa boleh buat, saya yakin juga boleh buat.

“Saya mahu memberi inspirasi dan semangat kepada golongan senasib untuk membuat sesuatu yang di luar akal dan kemampuan. Biarlah orang nak cakap apa, tapi akhirnya kita mampu buat.

“Malah, untuk filem ini saya terpaksa diet bagi membolehkan duduk di kerusi roda yang disediakan. Kalau ikut saiz dan berat badan saya ketika itu, memang tak boleh,” katanya.

Filem terbitan Sakti Films Sdn Bhd itu bakal ditayangkan pada 5 Disember sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada 3 Disember.

Filem itu turut menampilkan pelakon lain seperti Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Pablo Amirul, Cha Cha Maembong, Adam Lee dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 8:15 PM