DR Azizan (belakang tujuh dari kiri) bersama sebahagian daripada finalis AN19.

SELEPAS dua tahun menyepi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) kembali menganjurkan Anugerah Nasyid 19 (AN19) pada 30 November ini.

Program bakal diadakan di Dewan Besar Ikim, Langgak Tunku Off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur itu akan menyaksikan 11 kategori dipertandingkan.

Pemangku Pengarah Pusat Media Ikim, Mahathir Shaharuddin berkata, acara anugerah dwitahunan itu sebagai pengiktirafan kepada penggiat seni nasyid.

“Sambutan diterima daripada pendengar Carta Nasyid Ikim setiap minggu juga sangat baik. Malah, pencalonan lagu yang layak bertanding untuk AN19 ini disaring berdasarkan undian pendengar sejak Mac 2018 hingga April lalu,” katanya dalam sidang media program berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Mahathir berkata, bagi AN19 ini penilaian juga tidak hanya bertemakan lagu nasyid, tetapi karya berciri ketuhanan, kerohanian dan kemanusiaan pun diambil kira.

“Nasyid masih relevan dan memiliki kelompok pendengar tersendiri yang tergolong daripada kanak-kanak, dewasa dan berusia. Cuma, pada penganjuran AN19 ini platform digital menjadi pilihan Ikim untuk siaran langsung nanti.


MAHATHIR

“Penonton boleh menyaksikannya secara dalam talian melalui saluran www.ikim.my dan www.tvikim.my,” katanya.

Katanya, seiring kepesatan pengaruh platform digital dan media sosial yang menjadi pilihan masa kini, Ikim juga enggan ketinggalan.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan membabitkan Juara Anugerah Lagu Terbaik, Naib Juara Anugerah Lagu Terbaik, Ketiga Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Artis Baru Terbaik dan Anugerah Muzik Video Terbaik.

Turut dimuatkan ialah anugerah berdasarkan pilihan pendengar serta penonton seperti Anugerah Lagu Pilihan, Anugerah Artis Solo Pilihan dan Anugerah Artis Duo/ Berkumpulan Pilihan.

Mengulas mengenai hadiah akan diterima pemenang, Mahathir berkata, setiap kategori menyediakan hadiah berupa wang tunai dan trofi.

“Bagaimanapun, berapa jumlah wang tunai akan dibawa pulang pemenang belum diputuskan lagi. Apa yang pasti, AN19 adalah pengiktirafan utama buat penggiat seni nasyid tanah air,” katanya.

Mahathir berkata, empat panel juri profesional dilantik ialah Farihin Abdul Fattah sebagai ketua juri, Rozman Shafie atau LY (penjurian lagu), Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri - penjurian lirik) dan Huzaimi Mohd Zaimi (penjurian persembahan & vokal).

Antara yang bertanding di pentas AN19 ialah REUNIC dengan lagu berjudul Bertemu Semula, Ikhwan Fatanna (Bismillah), Caliph Buskers (Buta), Saujana (Satu Dalam Perjuangan) dan Mirwana (Cinta Bukan Mainan).

Turut bersaing, In-Team menerusi lagu berjudul Dia, XPDC (Doa), Far East (Gugur Di Setiamu), Rabbani (Ittihad), Adeep Nahar (Izinkan), Rabithah (Jalan Keluar) dan Khai Bahar (Cahaya 114).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 5:30 AM